
BATU PAHAT – Datuk kepada pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, merasakan arwah cucu kesayangannya masih ada meskipun sudah hampir dua minggu gadis itu meninggalkan keluarga buat selamanya.
Khyar Abas, 69, berkata, setiap sudut rumah masih membangkitkan kenangan bersama cucu kesayangannya seolah-olah remaja itu masih ada di sisi mereka.
Sejak pemergian Irene Sofiya pada 3 Oktober lalu, kehidupan warga emas itu dan isterinya, Jameyah Rabani, 69, terasa begitu berbeza apabila insan yang selama ini dijaga mereka sejak kecil tiada lagi di depan mata.
Lebih memilukan, bilik tidur, pakaian dan barangan peribadi arwah masih berada di tempat asal kerana Khyar tidak sampai hati untuk mengusik barang-barang yang begitu dekat dengan kenangan bersama cucunya itu.
“Memang saya tidak boleh lupakan cucu saya. Saya dan isteri yang menjaganya di rumah, jadi dia sentiasa bersama kami.
“Apabila melihat pakaian, bilik yang saya sediakan untuknya dan barang-barangnya, saya tidak boleh hendak mengusik apa-apa. Semuanya masih membuatkan saya terbayang-bayang dia ada di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng di sini hari ini.
Menurutnya, kehilangan Irene Sofiya bukan sahaja dirasai olehnya dan isteri, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarga kerana arwah sangat rapat dengan mereka.
Katanya, setiap kali melihat barangan peninggalan cucunya itu, hatinya kembali luluh mengenangkan pemergian remaja berkenaan.
Dalam pada itu, Khyar berharap keadilan dapat ditegakkan buat cucu kesayangannya itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang.
“Harapan saya, biarlah keadilan diberikan kepada arwah cucu saya. Mengenai tindakan selanjutnya, kita serahkan kepada pihak berwajib (mahkamah).
“Saya berharap hukuman yang dikenakan setimpal dengan apa yang dilakukan, tetapi semuanya bergantung kepada keputusan pihak berkuasa,”katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakan-rakan arwah, pihak sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil kerajaan yang hadir memberikan sokongan moral kepada keluarga sejak kejadian itu.
Terdahulu, suspek yang juga rakan sekelas Irene Sofiya yang berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi atas pertuduhan membunuh gadis berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 3 Oktober lalu, Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah oleh neneknya, Jameyah dan ibu saudara, Siti Nur Faeza, 45, serta rakan mangsa.
Gadis itu kemudian disahkan meninggal dunia dengan kesan kecederaan parah pada muka dan badan dipercayai akibat hentakan menggunakan objek keras.
Susulan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, seorang remaja berusia 16 tahun direman enam hari bermula 5 sehingga 10 Oktober lalu sebelum disambung reman enam hari lagi sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes kematian pelajar perempuan tingkatan empat tersebut.-KOSMO! ONLINE
The post ‘Rasa macam Irene Sofiya masih ada’ appeared first on Kosmo Online.





