
BANGI: Bekas anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussain, menafikan dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad bahawa beliau tidak diberi peluang untuk hadir dan memberi keterangan kepada suruhanjaya berkenaan.
Sebaliknya, Rashid yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji berkata, rekod prosiding menunjukkan Madinah telah dikeluarkan sepina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022, sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau tidak dipanggil untuk memberikan keterangan secara langsung.
Menurutnya, Madinah bagaimanapun memohon untuk hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu, Dr. Mona Othman, namun permintaan berkenaan tidak dapat dipenuhi kerana prosiding RCI menetapkan setiap saksi diperiksa secara individu.
“Untuk rekod, Madinah telah dikeluarkan sepina dan diminta hadir di hadapan kami pada 3 Jun 2022.
“Beliau meminta untuk hadir bersama Mona. Mengikut prosiding RCI, kami memeriksa saksi secara seorang demi seorang,” katanya ketika ditemui selepas Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, di sini hari ini.
Sebelum ini, Madinah menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil untuk memberi keterangan secara langsung dalam prosiding RCI TH, walaupun beliau mendakwa bersedia berbuat demikian.
Madinah yang memegang jawatan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 turut mendedahkan beliau berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI berlangsung, namun namanya tidak dipanggil.
Rashid berkata, RCI bagaimanapun telah mendapatkan penjelasan daripada Mona sehari sebelum tarikh Madinah dijadualkan hadir, iaitu pada 2 Jun 2022, selain mendapatkan keterangan pegawai meja yang mengendalikan audit TH.
“Pada 2 Jun 2022, kita sudah mendapatkan kehadiran Mona dan juga pegawai meja bagi audit Tabung Haji untuk memberikan penjelasan kepada kita.
“Kita ada laporan penuh,” katanya.
Dalam pada itu, Rashid berkata, Madinah tetap diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan dan penjelasan secara bertulis apabila RCI mengemukakan 75 soalan kepadanya.
Menurutnya, Madinah kemudian mengemukakan jawapan berkenaan di bawah akuan berkanun pada 1 April 2022 dan dokumen itu direkodkan sebagai pernyataan saksi oleh RCI.
“Untuk rekod sekali lagi, kami memberikan beliau peluang mengemukakan jawapan bertulis kepada 75 soalan.
“Beliau telah mengemukakan jawapan itu di bawah akuan berkanun pada 1 April 2022 dan ia berada dalam rekod kami sebagai pernyataan saksi,” katanya.
Rashid pada masa sama meminta isu berkenaan dilihat berdasarkan mandat serta tempoh penubuhan RCI, bukannya dipersoalkan dari sudut metodologi siasatan yang digunakan suruhanjaya itu.
“RCI ditubuhkan untuk tempoh yang terhad dan selepas laporan disediakan, itulah matlamatnya. Perkara ini bukan mengenai kredibiliti metodologi yang digunakan oleh RCI,” katanya. –UTUSAN
The post Rashid sangkal dakwaan Madinah tidak diberi peluang oleh RCI appeared first on Utusan Malaysia.






