Rashidi Ishak Tak Kritik Nyanyian Fazura, Hanya Beri Pandangan Secara Ikhlas - “Apa Untung Saya Nak Berniat Jahat”

27 Nov 2024 • 1:00 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Hanya memberi pandangan secara ikhlas, pelakon Rashidi Ishak mengakui dia tiada berniat jahat apabila menyuarakan pendapatnya mengenai nyanyian aktres dan penyanyi, Nur Fazura baru-baru ini.

Hanya beri pandangan

Tidak menafikan Fazura memiliki suara yang sedap, Rashidi, berpendapat aktres tersebut perlu banyak membuat latihan vokal bagi mengelakkan nyanyiannya sumbang.

 

“Kenapa saya nak berniat jahat, apa untung saya nak berniat jahat. Perkara itu hanya pandangan ikhlas dari saya. Tak dinafikan suara Fazura memang sedap sebagai seorang penyanyi pop.

 

“Cuma klip yang tular jelas nampak nyanyian dia sedikit lari (pitching). Kalau kita lihat, untuk penyanyi yang berlatih setiap hari dan sering membuat persembahan, masalah pitching jarang berlaku kepada mereka.

 

"Fazura mungkin kekurangan pengalaman menyanyi secara live. Mana ada penyanyi yang lahir-lahir terus bagus, semua perlu berlatih dan dipelajari.

"Penyanyi yang hebat boleh menyanyi dengan baik disebabkan mereka berlatih berjam-jam setiap hari, lakukan latihan dengan betul,” katanya kepada Gempak.

 

Rashidi berkongsi mengenai perkara itu di sidang media tiga buah drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Selasa.

Fazura bertuah

Pelakon berusia 51 tahun itu juga menganggap Fazura bertuah kerana dapat membuat persembahan di Indonesia dan peluang itu tidak mudah dimiliki.

 

"Saya hanya menulis di thread hanya berkongsi pendapat sahaja. Sama seperti pengguna media sosial lain, mereka akan meluahkan apa mereka rasa di platform tersebut.

 

"Fazura secara tidak langsung bawa nama Malaysia ke luar negara, susah peluang sebegitu untuk melebarkan sayap ke Indonesia,” ujarnya.

 

Terdahulu, Rashidi menerusi hantaran di platform threads menasihatkan pengurus Fazura mencarikan guru vokal sebagai pembimbing aktres tersebut menjadi penyanyi yang baik.