
KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000.
Rasuah itu diterima sebagai dorongan untuk mempertimbangkan rayuan pengecualian berhubung penyediaan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) tahun lalu.
Wan Abdul Latiff, 59, yang berkot hitam, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Suzana Hussin selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
“Faham, tidak (bersalah),” katanya.
Menurut fakta kes, beliaudidakwa menerima rasuah itu daripada seorang pengarah Syarikat Sunrich Conquest Sdn Bhd melalui seorang pengurus projek syarikat berkenaan.
Rasuah tersebut sebagai balasan kepada beliau selaku pegawai badan awam, iaitu Ketua Pengarah JAS, untuk mempertimbangkan rayuan pengecualian daripada penyediaan laporan EIA berkenaan.
Laporan terbabit adalah bagi permohonan kebenaran merancang untuk cadangan pembinaan jalan berkembar Bukit Kukus serta kerja-kerja tanah bagi mitigasi di atas tanah kerajaan di Jalan Bukit Kukus, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Paya Terubong, Pulau Pinang, yang dipohon oleh sebuah syarikat lain menerusi surat bertarikh 22 November 2024.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah JAS, Wisma Sumber Asli, Persiaran Perdana, Presint 4, Putrajaya pada 15 Januari 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Perbicaraan ditetapkan pada 7 Mei.
Sementara itu, Norhazni Mat Sari, 59, pula didakwa atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM21,000.
Tertuduh yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Operasi) didakwa menerima wang daripada seorang pengarah yang mempunyai kaitan dengan urusan rasmi antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024.
Kesemua pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Mei. — Getaran, 3 April 2026
