KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lalu.
Dr Norhazni Mat Sari, 59, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Mengikut semua pertuduhan, wanita itu sebagai seorang penjawat awam iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, telah menerima wang itu secara tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat itu.
Sedangkan tertuduh mengetahui bahawa pengarah syarikat itu mempunyai perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Wang itu diterima menerusi enam pindahan dalam talian ke akaun bank anak tertuduh di sebuah bank cawangan Bukit Bintang, di sini antara 18 April 2022 dan 19 Julai 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman, penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju jumlah jaminan ditetapkan sebanyak RM25,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Sementara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh, merayu dokumen perjalanan antarabangsa berkenaan diserahkan kepada mahkamah pada tarikh lain.
“Anak guam saya perlu menghadiri mesyuarat di Geneva, Switzerland bermula 16 hingga 26 Jun ini,” katanya, yang hadir bersama seorang lagi peguam, Lavanesh Haresh.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin pada jumlah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menolak permohonan peguam dan memberitahu sebarang permohonan untuk mendapatkan kembali pasport boleh dibuat sebelum tertuduh ke luar negara.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 19 Mei depan.



