Ketua Pengarah JAS didakwa terima rasuah RM100,000

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 10:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wan Abdul Latiff (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas satu pertuduhan menerima suapan.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menerima rasuah RM100,000 berhubung penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan membina jalan berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang tahun lalu.

Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

"Faham, tidak (bersalah)," katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot berwarna hitam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan wang itu daripada seorang pengarah syarikat melalui seorang pengurus projek di syarikat sama.

Ia sebagai upah untuk mempertimbangkan rayuan pengecualian penyediaan Laporan EIA bagi Permohonan Kebenaran Merancang Untuk Cadangan Membina Jalan Berkembar Bukit Kukus dan Kerja Tanah Untuk Mitigasi Di Atas Tanah Kerajaan, Jalan Bukit Kukus, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Paya Terubong, Pulau Pinang, yang dipohon oleh sebuah lagi syarikat lain, melalui surat bertarikh 22 November 2024.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Persiaran Perdana Presint 4, Putrajaya pada 15 Januari 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

"Pendakwaan juga mohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Firdaus Ahmad yang mewakili bapa kepada tiga anak itu merayu kadar jaminan dikurangkan.

“Dua daripadanya masih belajar di universiti awam, maka saya bimbang anak guam tidak mampu untuk membayar jaminan tersebut,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diiikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 Mei depan.