Rasullullah SWT sabar ketika dihina, tidak berdendam ketika berjawatan - Sultan Nazrin

25 Aug 2026 • 12:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rasullullah SWT sabar ketika dihina, tidak berdendam ketika berjawatan - Sultan Nazrin
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Negeri Perak hari ini. Foto Bernama

IPOH - Nabi Muhammad SAW menjadi contoh terbaik dalam kepimpinan sepanjang zaman kerana sentiasa mengutamakan keadilan, amanah dan ihsan termasuk terhadap golongan lemah serta masyarakat bukan Islam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keperibadian Rasulullah SAW perlu dijadikan teladan dalam membentuk jati diri Muslim kerana Baginda menunjukkan contoh kepimpinan yang berteraskan akhlak dan ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Menurut baginda, Rasullullah SWT memiliki kedudukan tinggi sebagai pemimpin tetapi menjalani kehidupan yang sederhana dengan penuh tawaduk.

"Baginda sabar ketika dihina, tidak berdendam ketika berjawatan, adil ketika berkuasa, amanah ketika diberi tanggungjawab.

"Ketakwaan kepada perintah ALLAH SWT melindungi Baginda daripada amalan penyelewengan, pecah amanah, salah guna kuasa dan penindasan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Baginda bertitah, Rasulullah SAW juga tidak pernah menafikan hak golongan bukan Islam malah menyantuni mereka dengan akhlak yang baik serta berusaha menyatukan masyarakat majmuk di Madinah.

Menurut Sultan Nazrin, kekuatan Rasulullah SAW bukan sekadar terletak pada kedudukan Baginda sebagai pemimpin, sebaliknya pada keperibadian dan prinsip yang diterjemahkan melalui tindakan serta akhlak.

"Baginda tegas pada prinsip, santun dalam tindakan, berani menghadapi musuh tetapi penuh ihsan terhadap yang lemah;

Kekuatan Rasulullah SWT terletak pada peribadi dan prinsip Baginda dan bukan pada retorik atau slogan," titah baginda.

Baginda menegaskan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya hanya dizahirkan melalui kata-kata, selawat atau sambutan Maulidur Rasul sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan terhadap ajaran, akhlak dan sunah Baginda.

Sultan Nazrin turut menyeru umat Islam mencontohi akhlak Rasulullah SAW bagi melahirkan masyarakat yang berintegriti, bertanggungjawab, saling menghormati dan mengutamakan persaudaraan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved