
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mahu terus bergiat aktif untuk menyumbang kepada masyarakat dalam apa sahaja platform selepas menerima anugerah sebagai tokoh Maulidur Rasul 1448H 2026M.
Ayob Khan yang menerima anugerah Tokoh Wira Negara itu berkata, beliau akan membuat penelitian dahulu sebelum membuat sebarang keputusan selepas bersara pada 26 Julai lalu.
“Saya sudah pencen hampir sebulan ya, jadi adalah tawaran-tawaran (yang diberikan) tapi saya masih belum buat sebarang keputusan.
“Saya yakin saya perlu untuk aktif semula, tidak kira dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat ataupun penulisan sebab saya minat menulis kan. Hari itu pun ada lancarkan buku, selepas ini ada buku yang lagi terperinci berkenaan operasi yang lepas yang boleh saya kongsikan, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Anugerah yang diterima Ayob Khan itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Ayob Khan menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Memang saya tidak menjangkakan yang akan dipilih untuk menerima anugerah ini, saya hanya dimaklumkan lebih kurang tiga hari lalu.
“Pengiktirafan ini adalah satu pengiktirafan bukan kepada saya sahaja, tapi ini adalah satu pengiktirafan kepada PDRM lah, dalam konteks pengorbanan itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana memilih saya untuk menerima anugerah,” katanya. – UTUSAN
The post Tokoh Maulidur Rasul: Ayob Khan mahu terus aktif appeared first on Utusan Malaysia.






