Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Polis mengesahkan kesemua 110 pelarian Rohingya yang berkhemah di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling memiliki kad pelarian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai 113 pelarian dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada kira-kira jam 8.50 malam bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.
Menurut beliau, kumpulan itu terdiri daripada 110 pelarian Rohingya, selain seorang lelaki warga Iraq dan seorang wanita warga Somalia yang turut berada di lokasi berkenaan.
“Hasil proses dokumentasi yang dijalankan terhadap warga Rohingya di perkarangan Dataran Wira IPK Kuala Lumpur mendapati semua mempunyai dokumen UNHCR yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Dakwa Dihalau Dari Pulau Pinang, Ratusan R*hingya Berkampung Depan Pejabat UNHCR
Artikel berkaitan: “Saya minta maaf, saya tahu salah” – Pemilik Tanah Penempatan R*hingya
Beliau berkata, proses dokumentasi itu melibatkan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKA).
Katanya, kesemua warga asing terbabit kini ditempatkan sementara di Dataran Wira sementara menunggu tindakan susulan daripada pihak UNHCR.
Terdahulu, media melaporkan kumpulan pelarian itu berkumpul dan berkhemah di hadapan pejabat UNHCR selepas didakwa diusir oleh penduduk tempatan.
Mereka dilaporkan datang ke ibu negara sejak awal pagi Isnin dengan menaiki tiga bas dari Pulau Pinang.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





