
MELAKA: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin memperkukuh kesepakatan jentera di peringkat akar umbi dengan keyakinan merampas dua kerusi strategik Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Katil dan Ayer Keroh, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau amat berpuas hati dengan tahap kerjasama yang ditunjukkan jentera kedua-dua gabungan, khususnya dalam memastikan calon PN di Bukit Katil mendapat sokongan sepenuhnya daripada jentera UMNO dan BN.
Menurut beliau, kesepakatan yang dibentuk itu kini berada pada tahap yang cukup membanggakan, namun semua pihak perlu terus memperhalusi gerak kerja dalam tempoh berbaki kira-kira seminggu sebelum rakyat Melaka turun mengundi pada 14 November ini.
“Saya amat gembira kerana mengukur kedudukan kerjasama di antara jentera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional telah mencapai satu taraf yang cukup membanggakan, alhamdulillah.
“Gerak kerja ini mesti diperhalusi lagi menuju ke 14 hari bulan nanti. Saya dapati komitmen yang diberikan oleh pihak UMNO untuk bekerjasama memenangkan calon PAS di Bukit Katil berada pada tahap yang sangat baik.
“Saya harap ia dapat diteruskan kerana kita hanya ada lebih kurang tujuh hari sahaja lagi untuk sama-sama menggerakkan jentera dan memastikan jawatankuasa yang dilantik memegang portfolio masing-masing dengan penuh amanah dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama calon DUN Bukit Katil dan Ayer Keroh serta jentera PN serta BN di Bilik Gerakan DUN Bukit Katil di Jalan Deman Husin, di sini hari ini.
Hadir sama calon PN DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif dan calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.
Mengenai pembahagian portfolio antara BN dan PN, Ab Rauf berkata, perkara itu belum dimuktamadkan secara rasmi, walaupun ada perbincangan mengenai gerak kerja bersama sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf turut menyifatkan naratif “Selamatkan Melaka” yang dimainkan Pakatan Harapan (PH) sebagai pandangan politik pihak lawan.
Sebaliknya, beliau menegaskan BN dan rakan strategiknya juga mempunyai pendirian tersendiri dalam usaha menentukan masa depan negeri itu.
“Itu dari sudut pandangan mereka. Bagi pihak kita pula, kita juga mahu menyelamatkan Melaka daripada PH,” katanya.
Dalam pada itu Ab Rauf yang juga Ketua Menteri berkata, keyakinan BN-PN bukan hanya tertumpu kepada Bukit Katil, malah Ayer Keroh turut menjadi antara sasaran penting untuk dirampas daripada pihak lawan. -UTUSAN
The post Rauf yakin BN-PN tawan DUN Bukit Katil dan Ayer Keroh appeared first on Utusan Malaysia.






