Rawatan kesihatan kerajaan tiada tandingan

LocalHealth & Fitness
4 Jun 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rawatan kesihatan kerajaan tiada tandingan
Hakikatnya, kita membayar pada kadar yang rendah, tetapi menerima perkhidmatan yang nilainya jauh lebih tinggi. Gambar hiasan

KADANG-KADANG Merak Jalanan rasa rakyat Malaysia sendiri tidak sedar betapa bertuahnya kita memiliki sistem kesihatan awam yang antara terbaik di rantau ini.

Mana tidaknya, dengan bayaran yang cukup rendah, rakyat masih boleh mendapatkan rawatan daripada doktor, pakar, jururawat dan petugas kesihatan yang terlatih.

Malah, ada rawatan yang jika dibuat di sektor swasta boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit, tetapi di hospital atau klinik kerajaan kosnya jauh lebih rendah.

Ambil contoh rawatan pergigian. Ramai yang pernah merasai sendiri bagaimana tampalan gigi, cabutan gigi atau pemeriksaan berkala di klinik kerajaan hanya dikenakan bayaran yang tak masuk akal.

Namun peralatan digunakan, prosedur rawatan dan kepakaran pegawai pergigian tetap mengikut standard profesional yang tinggi.

Sudah tentu adakalanya pesakit perlu menunggu lebih lama berbanding di klinik swasta.

Namun apabila memikirkan jumlah pesakit yang perlu dirawat setiap hari, Merak Jalanan kagum melihat kesabaran dan komitmen petugas kesihatan yang terus menjalankan tugas tanpa banyak kerenah.

Malah, ramai yang pernah dimasukkan ke wad hospital kerajaan mengakui layanan yang diterima tidaklah seteruk seperti yang sering digambarkan.

Sebab itu Merak Jalanan berpendapat, sesekali kita perlu memberi penghargaan kepada petugas kesihatan yang menjadi tulang belakang sistem ini.

Ketika ramai hanya melihat kelemahan, jangan pula kita lupa melihat jasa dan pengorbanan mereka.

Hakikatnya, kita membayar pada kadar yang rendah, tetapi menerima perkhidmatan yang nilainya jauh lebih tinggi.

Bukan semua negara mempunyai kelebihan seperti ini. Jadi, selagi nikmat itu masih ada, hargailah sebaiknya.