Raya belum habis, dompet sudah ‘kempis’

LocalPersonal Finance
30 Mar 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenangan yang terbina bersama ibu bapa dan anak-anak di kampung halaman jauh lebih berharga daripada jumlah wang yang dihabiskan untuk hiasan yang bersifat sementara. Foto hiasan

KEMERIAHAN Aidilfitri masih hangat, namun terdapat segelintir isi rumah yang sudah mula merasai kesan kewangan selepas berbelanja untuk raya.

Keadaan ini berlaku apabila perbelanjaan sepanjang Ramadan dan Syawal mula memberi kesan kepada baki simpanan sebaik sahaja kembali kepada rutin harian.

Tradisi Aidilfitri sememangnya memerlukan pelbagai persiapan seperti pembelian pakaian baharu, kuih-muih, kelengkapan rumah serta kos perjalanan pulang ke kampung.

Tambahan pula, penyediaan juadah hari raya dan pemberian duit raya kepada ahli keluarga serta tetamu turut menambah beban kewangan.

Tidak hairanlah situasi ini pernah dilaporkan pada 13 April 2024 apabila sesetengah keluarga membelanjakan antara RM3,000 hingga RM10,000 untuk persiapan Aidilfitri.

Menerusi laporan pada 16 April tahun lalu pula, jumlah keseluruhan perbelanjaan sempena Ramadan dan Aidilfitri dianggarkan antara RM30 bilion hingga RM40 bilion.

Dalam masa sama, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan bazar Ramadan dan Aidilfitri 2025 mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM3.2 bilion dengan hampir 282,000 pekerja terlibat.

Angka ini jelas menunjukkan perayaan bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan isi rumah, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi, khususnya dalam kalangan peniaga kecil.

Bagaimanapun, tekanan kewangan tidak hanya berlaku semasa musim perayaan. Menerusi laporan akhbar pada 8 Oktober tahun lalu, rakyat Malaysia membelanjakan purata RM5,566 sebulan pada tahun 2024, dengan perumahan, utiliti dan makanan sebagai komponen utama.

Ini menggambarkan isi rumah berdepan komitmen kewangan yang tinggi sepanjang tahun, sebelum mengambil kira kos tambahan ketika perayaan.

Malah, Tinjauan Persepsi Prestasi Pentadbiran, Dasar Negara dan Kepimpinan Politik oleh Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) antara 15 November hingga 19 Disember 2025 mendapati kira-kira 42 peratus responden bimbang terhadap peningkatan kos harian.

Tinjauan yang melibatkan 1,604 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia itu menunjukkan kebimbangan terhadap kewangan bukan lagi isu sementara, sebaliknya semakin dirasai dalam kehidupan harian.

Berdasarkan perkembangan ini, penulis melihat perubahan ketara dalam cara masyarakat berbelanja. Sudah pastinya ramai mula menetapkan bajet awal ketika membuat persiapan raya dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Mungkin ada yang mengehadkan pemberian duit raya, tidak pulang ke kampung bagi menjimatkan kos perjalanan dan menangguhkan pembelian barangan yang tidak penting.

Dalam masa sama, kerajaan turut mengambil langkah membantu isi rumah melalui Belanjawan 2025 dengan peruntukan hampir RM13 bilion menerusi program Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Namun, penulis berpandangan bantuan sahaja tidak mencukupi tanpa disertai disiplin dalam mengurus perbelanjaan.

Sehubungan itu, pakar kewangan sering menasihatkan agar masyarakat tidak terjebak dengan penggunaan kad kredit atau skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ secara berlebihan demi menonjolkan kemewahan sementara pada hari raya.

Kenangan yang terbina bersama ibu bapa dan anak-anak di kampung halaman jauh lebih berharga daripada jumlah wang yang dihabiskan untuk hiasan yang bersifat sementara.

Jangan biarkan beban hutang memadamkan kegembiraan Syawal anda.

*Norawazni Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Pahang