Rayer gesa AG teliti semula 47 pertuduhan Ahmad Zahid

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 9:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rayer gesa AG teliti semula 47 pertuduhan Ahmad Zahid
Rayer

SHAH ALAM – Peguam Negara (AG) diminta untuk meneliti semula 47 pertuduhan berkaitan rasuah melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, timbul persoalan berhubung keputusan menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid sedangkan kerajaan kini giat membanteras rasuah.

"Mengapa wujud perbezaan standard apabila melibatkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram itu.

"Ini bukan dakwaan remeh berikutan kes berkenaan telah melalui perbicaraan yang panjang sebelum pihak pendakwaan akhirnya menghentikan prosiding dan mengumunkan tiada tindakan lanjut diambil," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Januari lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Jelas Rayer, gesaan itu bukan bertujuan untuk mengisytiharkan mana-mana pihak bersalah, sebaliknya berkaitan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.

"Jika kerajaan benar-benar serius dalam memerangi rasuah, tidak boleh wujud satu standard untuk lawan politik dan satu lagi standard untuk sekutu politik.

"Saya meminta Peguam Negara mendedahkan sebanyak mungkin alasan perundangan serta asas bukti yang dibenarkan oleh undang-undang," katanya lagi.

Tambah beliau, sekiranya bukti serta keadaan perundangan mengkehendakinya, langkah sewajarnya perlu diambil bagi menghidupkan semula atau meneruskan perkara tersebut mengikut lunas undang-undang.

Pada masa sama, Rayer mahu Peguam Negara menjawab kebimbangan orang ramai berhubung perbezaan antara tindakan tegas kerajaan dalam mengejar kes rasuah lain dengan penutupan kes Ahmad Zahid.

"Usaha membanteras rasuah tidak boleh dilakukan secara terpilih. Keadilan tidak boleh memihak dan kedaulatan undang-undang tidak boleh bergantung kepada siapa pelakunya.

"Jika kerajaan ini benar-benar mahu meyakinkan rakyat bahawa era pendakwaan terpilih telah berakhir, prinsip itu mesti dibuktikan secara konsisten," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved