
GOMBAK: Kerajaan perlu meneliti semula dasar dan mencari titik keseimbangan yang jelas antara aspek pengurusan pelarian Rohingya dan tanggungjawab kemanusiaan agar negara tidak terus terbeban dengan isu berkenana.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesan daripada dasar terdahulu itu kini perlu diteliti secara menyeluruh kerana negara bukan sahaja mahu melindungi golongan tersebut tetapi juga berdepan dengan bebanan akibat jumlah ketibaan pelarian yang tinggi.
“Sebelum ini, kerajaan telah memberikan pintu kepada pelarian daripada Rohingya untuk masuk. Malahan ada program sokongan politik dan videonya masih lagi tersebar sekarang.
“Oleh itu, kesan yang ada sekarang ini kena kita teliti. Sebab kita bukan hendak melindungi saja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Aspirasi Anak Muda Nasional di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak hari ini.
Amirudin berkata, dalam menangani isu kediaman atau perniagaan tidak sah, pihak berkuasa sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya ia melanggar peraturan.
“Kalau macam ada kediaman yang tidak sah, kita ambil tindakan. Kediaman yang sah, kita tak boleh buat apa-apa. Sebab hak milik persendirian dan ada tuan pemilik tanah bagi ruang. Kita tak boleh buat apa-apalah. Itu tanah dia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar perbincangan mengenai isu pelarian tidak didorong oleh sentimen melulu yang boleh menyifatkan seluruh pelarian sebagai penjenayah.
Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai sudut pandang termasuk suara kemanusiaan sebelum membuat sebarang ketetapan mutlak.
Ia bagi mengelakkan daripada bertindak kejam atau tidak berperi kemanusiaan terhadap mana-mana golongan pelarian global.
“Jadi, ada beberapa persoalan yang kita kena buat. Ataupun kerajaan hendak jadi tutup semua pintu untuk pelarian seluruh dunia termasuk pelarian Syria dan pelarian Gaza? Tak boleh begitu.
“Kalau ikut perasaan setengah orang dan ikut moodnya saja, kita jadi orang yang kejam. Dah macam Nazi pula otak kita. Tidak boleh macam itu, bahaya,” katanya. – UTUSAN
The post Kerajaan perlu teliti dasar urus pelarian tanpa abai aspek kemanusiaan appeared first on Utusan Malaysia.






