
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor dilihat tidak menolak kemungkinan gabungan itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama di negeri ini.
Jajaran tersebut dipercayai untuk memastikan kedua-dua parti itu untuk terus relevan dan kuat dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun PH secara umum jelas dalam prinsipnya yang mementingkan kesejahteraan rakyat selain mengekalkan kestabilan.
“Sekarang mungkin timbul persoalan itu terutamanya apabila wujud formula baharu (Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)) di Johor, kemudian di Negeri Sembilan, tetapi masing-masing (BN dan PH) (masih) mengekalkan formula di Kerajaan Persekutuan.
“Politik sangat fluid dan mencabar, UMNO dengan PN membentuk jajaran di beberapa buah negeri. Kita berpegang kepada prinsip. Saya jelas, kita hendak pegang kepada prinsip, yang pentingnya kesejahteraan rakyat dan bagaimana kestabilan dapat dikekalkan,” katanya ketika ditemui di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini
Terdahulu, sumber dalaman PH mendedahkan kepada Utusan Malaysia wujud rundingan antara pemimpin Bersatu negeri ini dengan gabungan tersebut bagi menentukan hala tuju mereka di Selangor.
Bagaimanapun, beliau berpandangan Bersatu perlu berada dalam komponen gabungannya jika mereka mahu bekerjasama, bukan seperti BN dan PH.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menegaskan, BN secara terang-terangan bekerjasama dengan PN di Johor dan Negeri Sembilan walaupun mereka masih bersama dengan PH di peringkat pusat.
“Sama ada kita makin matang berpolitik atau membentuk kegilaan baharu. Sebab ia macam satu perkahwinan, kita sudah tahu akan bercerai dalam setahun lagi, (tetapi) dalam masa sama partner kita sudah tunjuk skandal, macam itulah, faham tak?
“Macam itulah, jadi fikir-fikirkanlah,” ujarnya dalam nada yang berseloroh. – UTUSAN
The post PH, Bersatu Selangor teroka peluang kembali bekerjasama? appeared first on Utusan Malaysia.






