Kedudukan pembangkang Selangor tidak berubah

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 3:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Kedudukan pembangkang Selangor

SHAH ALAM: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kekal pada tempat masing-masing.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengubah kedudukan tersebut berdasarkan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Katanya, sebaliknya Bersatu dan Pas di negeri ini kekal sebagai blok pembangkang sehingga akhir penggal DUN Selangor Ke-15 walaupun kedua-dua parti itu berseteru di peringkat pusat.

“Itu di peringkat Persekutuan, kita tiada masalah, kita bertindak sebagai pembangkang yang berwibawa di Selangor,” katanya ketika ditemui di DUN Selangor, di sini, hari ini.

Pada 8 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Pas mengumumkan keputusan untuk mengakhiri kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada malam ini.

Malah, kedua-dua komponen PN itu turut bertembung dalam dua pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Selain itu, Abdul Hadi turut menegaskan kedudukan Bersatu sebagai ahli PN tergugur dengan sendiri apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan membentuk gabungan baharu.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin juga Pengarah Pilihan Raya Bersatu sedang membuat persiapan bagi parti memasuki PRN Melaka yang dijangka diadakan selewatnya pada tahun depan.

“Itu (PRN Melaka) kita akan bincang. Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun mengarahkan supaya Biro Politik segera melihat apakah pendekatan yang terbaik dengan situasi politik semasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Setiausaha Agung Bersatu itu turut mengulas keputusan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris bersama dua lagi pemimpin kanan parti itu yang meletakkan jawatan, hari ini.

Katanya, tindakan tersebut bukanlah suatu beban kepada parti, sebaliknya sikap terbuka iaitu meletakkan kepentingan parti melebihi individu.

“Apakah ada keperluan untuk kita menentukan hala tuju atau strategi baharu. Itu biasa dalam mana-mana parti.

”Kita lihat bagaimana DAP juga mengambil pendirian hampir sama apabila kalah di Johor dan Negeri Sembilan, mereka ambil sikap terbuka apabila ketua negeri meletakkan jawatan,” ujarnya.

Terdahulu, Bersatu Terengganu dilaporkan berdepan krisis kepemimpinan apabila Razali yang juga ADUN Kijal  mengumumkan meletak jawatan yang diikuti dua lagi pemimpin kanan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebuda­ya­an, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu itu enggan mengulas punca beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak kira-kira 10 tahun lalu. – UTUSAN

The post Kedudukan pembangkang Selangor tidak berubah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved