Razer telah melancarkan Huntsman V3 Pro Mini 8KHz iaitu papan kekunci baharu yang dibangunkan khas untuk memenuhi keperluan pemain e-sukan. Papan kekunci ini hadir dengan reka bentuk padat bersaiz 60% sekali gus menjadikannya mudah dibawa ke mana-mana.

Razer Huntsman V3 Pro Mini 8KHz ini boleh berfungsi pada kadar 8000 Hz bagi memberikan tindak balas segera dalam masa hanya 0.48ms. Ia dilengkapi suis Razer Analog Optical generasi kedua dengan fungsi Rapid Trigger untuk input pantas, julat tekanan boleh dilaras antara 0.1 hingga 4.0mm serta ketahanan sehingga 100 juta kali kekunci ditekan.

Papan kekunci ini hadir dengan lapisan penyerap bunyi serta suis dilapisi bahan khas untuk menjadikan bunyi lebih senyap dan rasa menaip lebih lancar. Keycaps PBT Doubleshot pula memastikan ketahanan walaupun digunakan kerap, manakala beberapa kekunci boleh ditukar menjadi anak panah untuk kegunaan tambahan.

Ia turut menawarkan ciri pintar seperti Snap Flex yang membolehkan aksi berbeza ketika menekan dan melepaskan kekunci, Snap Tap untuk menukar arah dengan lebih cepat serta Dual Keypress Priority bagi mengelakkan konflik input apabila banyak kekunci ditekan serentak. Semua tetapan termasuk ketinggian Actuation, Rapid Trigger dan Snap Tap boleh diubah terus daripada papan kekunci tanpa memerlukan perisian tambahan.

Harga rasmi Razer Huntsman V3 Pro Mini 8KHz di Malaysia ialah RM789 seperti mana yang disenaraikan melalui laman web Razer Asia.


