Razer Project Ava Kini Dilancarkan Sebagai WYVRN – Platform Pembangunan Permainan Video Dibantu AI

TechnologyGamingDigital
20 Mar 2025 • 6:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Razer WYVRN dilancarkan hari ini sebagai platform pembangunan permainan video yang dibantu oleh kecerdasan buatan (AI). Ia terdiri daripada beberapa komponen utama dengan yang pertama sekali ialah Razer AI Game Copilot yang akan memberikan bantuan di dalam permainan video apabila diperlukan. Sebelum ini Razer AI Game Copilot telahpun diperlihatkan di CES pada Januari lalu sebagai Project Ava.

image is not available

Menerusi Razer AI Game Copilot bukan sahaja bantuan dalam permainan video boleh diberikan, malahan ia boleh menjadi jurulatih maya kepada atlet e-sukan berdasarkan data yang dikumpul daripada pemain profesional yang ditaja oleh Razer. Tahap interaksi dan bantuan diberikan oleh AI Game Copilot boleh diubah mengikut keperluan pembangun. Selain itu ia juga boleh memberikan saranan tetapan permainan berdasarkan spesifikasi PC serta sokongan dalam pelbagai bahasa.

Komponen seterusnya ialah Razer AI QA Copilot yang akan melakukan kawalan kualiti permainan video yang sedang dibangunkan. Ia tidak menggantikan penguji permainan manusia tetapi sebaliknya bekerjasama untuk melaporkan pepijat, dan isu yang ditemukan ketika permainan di uji. Dengan ini penguji manusia boleh menumpukan perhatian menguji permainan dan bukannya menghabiskan masa menulis nota serta laporan secara manual.

Terdapat juga integrasi Razer Sensa HD Haptics dengan kerjasama SimHub bagi memberikan sokongan Sensa HD Haptics dalam lebih 90 permainan video. Tidak dilupakan ialah sokongan sistem Razer Chroma RGB dan THX Spatial Audio+ supaya permainan video yang dibangunkan menyokong ekosistem gaming Razer dengan lebih baik. Pembangun boleh mencuba Razer WYVRN bermula hari ini.