Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau memaklumkan kerajaan dijangka memutuskan kedudukan laporan berkenaan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini sebelum ia didedahkan kepada orang ramai.
Menurutnya, setiap individu berhak membela diri sekiranya tidak melakukan sebarang kesalahan, manakala mereka yang didapati bersalah perlu melalui proses pendakwaan dan hukuman sebagaimana diperuntukkan undang-undang.
“Sekarang ada perbahasan sedikit tentang Tabung Haji. Saya tak mahu bicara panjang, mudah-mudahan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita akan putuskan. Ada laporan. Biar orang baca.
“Siapa kalau tak salah, pertahankan. Kalau salah, dakwa. Kalau dihukum, masuk penjara, masuk penjara. Itu bukan urusan saya,” katanya.

Foto: Bernama
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Tampin hari ini.
Anwar berkata, sistem pentadbiran negara menetapkan tanggungjawab setiap institusi secara berasingan dan Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan siasatan, pendakwaan atau penghakiman.
“Sistem kita meletakkan, siasat, itu badan siasat. Buat pertuduhan, itu peguam negara.
“Hukum (dijatuhkan), para hakim. Itu bukan urusan Perdana Menteri. Tetapi seorang Perdana Menteri yang diamanahkan harus jujur menyatakan mesti bebas ikut proses Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

Foto: Bernama
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa amanah merupakan asas penting dalam pentadbiran negara dan sebarang pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan akhirnya akan memberi kesan buruk kepada negara.
“Saya singgung hal ini kerana negara bagi saya tidak mungkin mempertahankan keamanannya kalau orang yang diamanahkan itu mengkhianati amanah,” kata Anwar.
Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)





