RCI Tabung Haji: Kerajaan jamin tindakan susulan dilaksana menyeluruh, tegas

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 3:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji: Kerajaan jamin tindakan susulan dilaksana menyeluruh, tegas
Zulkifli

SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan akan memastikan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dilaksana secara tegas dan menyeluruh demi memelihara amanah pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kerajaan juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya diperlukan.

"Keanggotaan RCI TH dibentuk oleh enam tokoh berwibawa tinggi yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021, merangkumi pakar kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, syariah dan audit.

"Gabungan kepakaran ini memastikan setiap siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor mencadangkan supaya PAC menubuhkan badan khas bagi menyiasat pengurusan TH bagi tempoh 2017 hingga 2022 berbanding mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kali kedua.

Presiden UMNO itu berkata, PAC mempunyai 'locus standi' yang jelas menerusi tugas dan tanggungjawabnya untuk menjalankan penelitian terhadap perkara berkaitan pengurusan kewangan dan tadbir urus.

Dalam pada itu Zulkifli menjelaskan, siasatan berkenaan turut disokong titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah selain ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat 'hingga ke lubang cacing'.

Menurutnya, desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

"Kerajaan berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada ALLAH SWT serta memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved