
Kerajaan MADANI berikrar melaksanakan tindakan susulan Laporan RCI Tabung Haji secara tegas dan menyeluruh demi melindungi pendeposit
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada pelaksanaan tindakan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan diselesaikan secara tegas dan menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kerajaan juga bersedia memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung laporan RCI itu sekiranya diperlukan.
“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh.
“Langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Baru-baru ini terdapat gesaan supaya PAC menubuhkan badan khas di bawahnya bagi menjalankan siasatan terhadap pengurusan Lembaga TH bagi tempoh 2017 hingga kini.
Zulkifli berkata RCI TH dianggotai enam tokoh berwibawa yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021.
Beliau berkata gabungan kepakaran dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, syariah dan audit memastikan siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan.
“Siasatan itu turut disokong titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2021, selain ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lepas yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.
“Desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat Islam ini menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali,” katanya.
Zulkifli berkata Kerajaan MADANI berikrar akan menggalas amanah itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah SWT serta memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang.






