RCI Tabung Haji: Rafizi dakwa TH masih berdepan risiko

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 1:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RCI Tabung Haji: Rafizi dakwa TH masih berdepan risiko

PETALING JAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Tabung Haji (TH) masih berdepan risiko kelangsungan walaupun sedekad berlalu sejak isu rizab negatif institusi itu mula didedahkan.

Beliau berkata, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengesahkan pelbagai transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit, selain rizab TH menjadi negatif sejak tahun kewangan 2015 dan memuncak pada 2017.

Katanya, laporan itu turut mendapati hibah terus diagihkan kepada pendeposit antara 2014 hingga 2017 walaupun rizab TH berada pada kedudukan negatif demi populariti politik.

“TH juga didakwa mewujudkan peraturan perakaunan dalaman bagi membolehkan pembayaran hibah dibuat walaupun keadaan itu bertentangan dengan Akta TH serta piawaian pelaporan kewangan Malaysia dan antarabangsa.

“Saya bersetuju dengan hampir semua saranan yang dibuat ahli-ahli RCI. Ini termasuk semua ahli lembaga pengarah, anak-anak syarikat dan pegawai-pegawai kanan yang membuat keputusan perlu dipertanggungjawabkan.

“Harapan saya supaya orang ramai dapat mengetahui kedudukan sebenar TH sebenarnya masih terdedah kepada risiko kelangsungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rafizi yang juga pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkata, laporan itu turut menyatakan langkah penyelamatan (bail-out) TH bernilai RM19.9 bilion melalui Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., dengan nilai akhir sekitar RM27.8 bilion apabila matang berdasarkan keuntungan 4.05 hingga 4.10 peratus setahun.

Kataya, ia hanyalah satu tindakan sementara yang bergantung kepada kemampuan Kerajaan Persekutuan melunaskan komitmen tersebut pada tarikh matang.

Menurut beliau, Bersama turut menyokong syor supaya semua ahli lembaga pengarah, anak-anak syarikat dan pegawai kanan yang membuat keputusan dipertanggungjawabkan, selain siasatan perakaunan forensik dijalankan bersama siasatan jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan mana-mana agensi penguat kuasa serta penyelia berkaitan.

Katanya, kerajaan perlu memutuskan dengan telus dan berterus terang mengenai model pembiayaan haji bagi memastikan beban subsidi haji tidak terus meningkat sehingga mengancam kelangsungan TH.

Selain itu, Rafizi turut mencadangkan Malaysia mengkanunkan satu bentuk kesalahan terhadap pembuat keputusan termasuk menteri, pegawai kanan kerajaan, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan apabila berlaku penyelewengan di bawah seliaan mereka walaupun mereka mengaku tidak mendapat laba daripada penyelewengan itu. – KOSMO! ONLINE

The post RCI Tabung Haji: Rafizi dakwa TH masih berdepan risiko appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved