
KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan diadakan pada 11 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi khas itu diadakan pada waktu tersebut selepas dipersetujui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“11 Ogos, sesi khas Parlimen. Saya sudah berbincang dengan Speaker dan beliau pun setuju. Ia bermula 10 pagi sehingga petang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank di sini, hari ini.
Semalam, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum yang menggariskan 25 syor penambahbaikan dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya.
Terdahulu, kerajaan sebelum ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menubuhkan RCI susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021.
RCI itu ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu yang berbangkit berkaitan TH. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: Sidang khas di Dewan Rakyat 11 Ogos appeared first on Kosmo Digital.






