
KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) dimulakan hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Serentak dengan itu, lapan pegawai penyiasat ditugaskan ke ibu pejabat institusi tersebut bagi mendapatkan serta meneliti dokumen berkaitan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan tersebut dilaksanakan susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan dapatan laporan RCI yang baru didedahkan kepada umum.
Menurut beliau, pasukan penyiasat memulakan tugas pagi tadi dengan mengenal pasti dokumen berkaitan perkara dibangkitkan dalam laporan RCI serta isu-isu lain yang mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM.
“Pada masa sama, kami turut mengenal pasti individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan menerusi rakaman percakapan. Senarai berkenaan akan diteliti dan diklasifikasikan sebelum mereka dipanggil mengikut prosedur siasatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju untuk menyahklasifikasikan serta mendedahkan laporan RCI kepada umum, di samping membenarkan agensi penguat kuasa meneruskan siasatan berdasarkan dapatan laporan tersebut.
Laporan RCI berkenaan mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH dilaporkan telah melaksanakan kira-kira 75 peratus daripada cadangan dikemukakan.
Pengumuman agihan keuntungan TH sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 turut dianggap sebagai petunjuk kepada peningkatan prestasi dan kedudukan semasa institusi itu.
Susulan pendedahan laporan tersebut, SPRM menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi meneliti dapatan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
SPRM memaklumkan, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar, dilantik mengetuai pasukan petugas khas itu yang akan menyiasat kemungkinan berlakunya kesalahan membabitkan rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, penyalahgunaan kuasa serta pengubahan wang haram.
Abd Halim berkata, skop siasatan tidak akan dihadkan kepada tempoh tertentu, sebaliknya tertumpu kepada dapatan serta syor yang terkandung dalam laporan RCI.
Beliau berkata, siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku.
“Semua dokumen yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan diperoleh untuk diteliti dan dianalisis bagi membantu melengkapkan siasatan serta merumuskan hasil siasatan.
“Dokumen yang berkaitan akan diperiksa secara menyeluruh bagi menentukan tindakan selanjutnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Getaran difahamkan, SPRM akan memanggil semua pemimpin TH termasuk bekas pegawai kanan institusi itu dan mana-mana individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan. - Getaran, 31 Julai 2026






