RCI Tabung Haji: UMNO hentikan 'sandiwara', Asyraf Wajdi harus letak jawatan - AMK

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 11:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji: UMNO hentikan 'sandiwara', Asyraf Wajdi harus letak jawatan - AMK
Muhammad Iman Haziq berkata, Asyraf Wajdi perlu bersedia menjawab persoalan tentang tanggungjawab politik, peranan dan pengetahuan terhadap apa yang berlaku ketika itu. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - UMNO perlu berhenti mengadakan 'sandiwara' mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki perlu mengambil tanggungjawab untuk meletakkan jawatan dengan segera.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, sebagai parti dalam kerajaan, UMNO sepatutnya menghormati dapatan RCI tersebut dan membantu dalam mencari siapa dalang yang menyakau institusi itu, daripada cuba mengelak daripada tanggungjawab.

"Asyraf Wajdi pula yang berada dalam kerajaan dalam tempoh yang termasuk dalam skop siasatan RCI TH itu perlu bersedia menjawab persoalan tentang tanggungjawab politik, peranan dan pengetahuan terhadap apa yang berlaku ketika itu.

“RCI telah menyebut wujud transaksi mencurigakan, penyembunyian maklumat, kelemahan proses membuat keputusan pelaburan dan kegagalan tadbir urus. RCI juga mencadangkan audit forensik terhadap sejumlah pelaburan bermasalah.

“Justeru, Asyraf Wajdi berada dalam kedudukan untuk mengambil tanggungjawab untuk meletakkan satu standard baru dengan menjadi pimpinan UMNO pertama direhatkan kerana ada banyak lagi RCI selepas ini, terutama Felda dan juga Mara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, menuduh UMNO mengadakan ‘sandiwara’ berhubung RCI TH, dan mempersoalkan adakah ia bertujuan melindungi pihak yang bertanggungjawab daripada berdepan tindakan mahkamah.

Rayer mempersoalkan tujuan sebuah forum awam yang menampilkan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad bagi membincangkan dapatan RCI selepas laporan itu dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat kerana forum itu menimbulkan persoalan mengenai bagaimana UMNO menangani perkara yang sepatutnya diteruskan mengikut undang-undang dan proses sewajarnya.

Baru-baru ini, Exco AMK, Mohd. Shafiq Iqram Abdullah turut menggesa Asyraf Wajdi menjadi pimpinan UMNO pertama direhatkan susulan sisatan yang sedang djalankan ke atas RCI TH yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sememangnya ada sakau.

Mohd. Shafiq Iqram berkata, tindakan itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan siasatan berjalan tanpa sebarang persepsi gangguan atau konflik kepentingan. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved