
KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki perlu menjadi pimpinan UMNO pertama direhatkan susulan sisatan yang sedang djalankan ke atas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) yang didakwa oleh Perdana Menteri bahawa sememangnya ada ‘sakau’.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, tindakan itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan siasatan berjalan tanpa sebarang persepsi gangguan atau konflik kepentingan.
Beliau berkata, Asyraf Wajdi berada dalam kerajaan dalam tempoh yang termasuk dalam skop siasatan RCI Tabung Haji, justeru beliau juga perlu bersedia menjawab persoalan tentang tanggungjawab politik, peranan dan pengetahuan beliau terhadap apa yang berlaku ketika itu.
“RCI menyebut wujud transaksi mencurigakan, penyembunyian maklumat, kelemahan proses membuat keputusan pelaburan dan kegagalan tadbir urus. RCI juga mencadangkan audit forensik terhadap sejumlah pelaburan bermasalah.
“Saya tidak menuduh Asyraf Wajdi melakukan kesalahan jenayah. Itu mesti ditentukan melalui siasatan dan bukti.
“Tetapi dari sudut tanggungjawab politik, saya fikir beliau tidak boleh hanya meminta orang lain bertanggungjawab. Beliau sendiri mesti bersedia dikenakan standard yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Shafiq pada masa sama melontarkan persoalan kepada Asyraf tentang prinsipnya bahawa “jangan lindungi sesiapa dan pihak yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan” itu terpakai kepada siapa?
Katanya, kalau benar jangan lindungi sesiapa, maka jangan juga ada pengecualian kepada mana-mana pimpinan politik, termasuk diri sendiri.
“Kalau beliau benar-benar percaya “jangan lindungi sesiapa”, maka saya cabar beliau untuk menunjukkan prinsip itu dengan dirinya sendiri.
“Jika siasatan mendapati beliau mempunyai tanggungjawab atau keterlibatan dalam perkara yang sedang disiasat, beliau perlu tampil dan bertanggungjawab.
“Jangan minta orang lain bertanggungjawab kalau kita sendiri belum bersedia untuk bertanggungjawab. Itulah ukuran sebenar integriti,” katanya.
Menyokong pandangan sama, Exco AMK, Amira Alias pula berkata, beliau bersetuju saranan wakil dari Negeri Sembilan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 Sabtu lalu, Mohd Shariman Che Deris yang meminta Perdana Menteri mempertimbangkan untuk menggantikan Pengerusi Mara dengan individu lain kerana pemimpin UMNO terbabit sedang terlibat dalam konflik berkaitan RCI TH.
Ini kerana, kata beliau, integriti yang sebenar bukan melindungi orang sendiri, bukan menghukum orang sebelum terbukti bersalah, tetapi berani meletakkan prinsip di atas kepentingan politik.
“Asyraf wajdi sendiri sebelum ini pernah berkata bahawa pihak yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan dan tiada siapa yang patut dilindungi.
“Jadi secara politik, sangat munasabah untuk kita menuntut konsistensi antara prinsip yang beliau nyatakan dengan tindakan apabila siasatan menyentuh lingkungan kepimpinan sendiri,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Sakau’ TH: Asyraf Wajdi perlu jadi yang pertama dari UMNO ‘direhatkan’ – AMK appeared first on Utusan Malaysia.





