
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mempertimbangkan tindakan pendakwaan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC memaklumkan pihaknya memandang serius dengan penemuan-penemuan yang terkandung di dalam RCI tersebut berhubung hal ehwal pengurusan, pelaburan dan dakwaan salah laku.
“Jabatan ini akan mengambil tindakan segera meneliti laporan berkenaan bagi memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguatkuasa dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan komprehesif, agar pertimbangan sewajarnya dapat dibuat bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, selaras dengan tanggungjawab perlembagaan, AGC juga akan turut memastikan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan bukti yang ada.
Ia yang mana AGC memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan sekiranya perlu, ia akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
“Bagi memelihara integriti proses siasatan maka orang awam disaran agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan menurunkan keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan TH dalam melaksanakan peranannya menurut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” ujar kenyataan itu lagi.
Semalam media melaporkan Jemaah Menteri bersetuju supaya RCI berhubung TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 diklasifikasikan semula dan didedahkan kepada umum, selain akan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi kandungan laporan berkenaan.
Menurutnya, laporan tersebut mengandungi 25 syor penambahbaikan dan sehingga kini, pihak pengurusan TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada syor yang dikemukakan. – KOSMO! ONLINE
The post RCI TH: AGC teliti laporan, pertimbang tindakan pendakwaan appeared first on Kosmo Digital.






