RCI TH: Lapan pegawai SPRM mula siasatan di Bangunan TH

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 12:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI TH: Lapan pegawai SPRM mula siasatan di Bangunan TH
SPRM memulakan siasatan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lapan pegawai digerakkan ke bangunan TH pagi ini. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lapan pegawai digerakkan ke bangunan TH pagi ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tindakan itu dibuat selepas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya susulan laporan RCI yang didedahkan kepada umum pada Rabu lepas.

"Pasukan siasatan telah masuk ke bangunan Tabung Haji pagi ini bagi mengenal pasti dokumentasi berkaitan perkara yang dinyatakan dalam RCI serta perkara berkaitan dengan siasatan di bawah SPRM.

"Kami juga sedang mengesan beberapa individu yang akan dipanggil bagi dirakam keterangan mereka, selain meneliti senarai berkaitan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pihaknya akan memanggil semua pimpinan TH termasuk bekas pemimpin tertinggi, Abd Halim berkata sesiapa sahaja yang dikenal pasti akan dipanggil untuk memberikan keterangan.

Beliau berkata, siasatan tidak dihadkan kepada tempoh tertentu, sebaliknya akan berpandukan kepada penemuan serta syor yang terkandung dalam laporan terbabit.

"Sebarang dokumen yang diperlukan dan mempunyai kaitan dengan siasatan akan diambil dan diteliti bagi membuat rumusan hasil siasatan,” katanya.

Semalam, SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti laporan RCI mengenai TH itu.

Pasukan yang diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar akan meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) atau kesalahan yang berkaitan.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Rabu lepas, antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved