RCI TH: Jamil Khir Mengaku Tak Bersalah Atas Pertuduhan Lupus Aset TH RM860.3 Juta

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 1:02 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

RCI TH: Jamil Khir Mengaku Tak Bersalah Atas Pertuduhan Lupus Aset TH RM860.3 Juta

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman mendedahkan seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini (14 September) melibatkan kes berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Terbaharu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom didakwa atas tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan aset melebihi RM860.3 juta pada tahun 2015 sehingga 2017.

Jamil Khir Mengaku Tak Bersalah, Sebabkan TH Lupus Aset Lebih RM860.3 Juta

Jamil Khir yang berusia 65 tahun walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, Jamil Khir yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai itu didakwa menyebabkan TH melupuskan wang bernilai RM860,308,770.51 (SAR766,062,237) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.

Mengikut pertuduhan pertama, Jamil Khir didakwa menyebabkan TH melupuskan wang sebanyak RM42,942,074 iaitu bersamaan SAR44.17 juta.

Manakala pertuduhan kedua pula, melupuskan aset bernilai RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan pertuduhan ketiga berjumlah RM529,194,561.87 bersamaan dengan SAR471,848,615.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh Jamil Khir di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kompleks Islam Putrajaya pada 3 Apri 2015, 14 Disember 2016 serta 17 Ogos 2017.

Jamil Khir Didakwa Di Bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Pihak Pendakwaan Cadang Jamil Khir Diikat Jamin RM1 Juta

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan sehingga lima tahun, sebatan dan denda.

Pihak pendakwaan kemudiannya mencadangkan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin warganegara dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, meskipun pertuduhan tersebut adalah kesalahan yang boleh dijamin, mahkamah perlu mengambil kira keseriusan kesalahan, skala kewangan serta risiko mengenai kes tersebut sewaktu menetapkan jumlah jaminan.

Ini kerana jelasnya, jumlah keseluruhan ketiga-tiga pertuduhan berkenaan melibatkan jumlah RM860 juta.

Peguam Mohon Ikat Jamin RM300,00, Anak Guam Tiada Sumber Pendapatan Lain

Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili Jamil Khir, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon mahkamah agar menetapkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Ini kerana jelas Hisyam, jaminan tersebut adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan Jamil Khir berisiko gagal untuk menghadirkan diri pada prosiding atau perbicaraan akan datang.

Tambah Hisyam lagi, anak guamnya itu juga bersedia untuk menyerahkan pasport sebagai jaminan tambahan.

“Yang Arif, anak guam saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain. Satu-satunya sumber pendapatan yang beliau ada ialah pencennya sebagai bekas menteri serta pencen sebagai bekas Mejar Jeneral tentera.

“Maka dalam keadaan ini, Yang Arif, jumlah RM300,000 dengan seorang penjamin, berserta pasport ditahan adalah mencukupi untuk menjamin kehadiran beliau ke mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Jamil Khir diikat jamin dengan RM300,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta pasport turut disimpan di mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 5 November 2026 sebagai sebutan semula kes.

Jamil Khir Mahu Gunakan Proses Perbicaraan Mahkamah Untuk Bersihkan Nama, Yakin Proses Perundangan Beri Keadilan

Dalam pada itu, Jamil Khir menjelaskan dia mahu menggunakan proses perbicaraan di mahkamah untuk membersihkan namanya.

Tambah Jamil Khir, dia akan membela diri dan yakin proses perundangan tersebut akan memberi keadilan terbaik buat dirinya itu.

“Saya akan membela diri saya di mahkamah kerana ini antara tempat yang terbaik untuk mendapatkan keadilan.

“Saya yakin mahkamah akan memberikan yang terbaik (keadilan), tentunya ada balas hujah dan sebagainya,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Jelas Jamil Khir lagi, pertuduhan yang dihadapi adalah berkaitan sewaan hotel yang baginya adalah perkara penting dalam pengurusan TH.

Baca Artikel Berkaitan: Abdul Azeez Mengaku Tak Bersalah Guna Kedudukan Untuk Jawatan & Pelaburan Berkaitan TH RM193.5j

Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Audit Negara Gagal Tegur TH Isytihar Hibah 2017 Sebanyak RM2.75 Bilion – RCI Tabung Haji

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Orang Pertama Bagi Kerjasama” – Isu Laporan RCI Tabung Haji, Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved