Jamil Khir nafi tiga pertuduhan sebabkan TH lupus lebih RM800 juta

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 9:22 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jamil Khir nafi tiga pertuduhan sebabkan TH lupus lebih RM800 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan wang RM860,308,770.51 atau SAR766,060,237 (Riyal Saudi) milik institusi itu, antara 2015 hingga 2017.

Bagaimanapun Jamil Khir, 65, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham (pertuduhan) tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan Jamil Khir didakwa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), (jawatan ketika itu) dengan secara tidak jujur telah menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta milik institusi itu, iaitu wang RM42,942,074 bersamaan SAR44.170 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 3 April 2015 dan di pejabat sama di Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya pada 14 Dis 2016 dan 17 Ogos 2017.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkmah kemudian membenarkan Jamil Khir diikat jamin RM300,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 5 November ditetapkan sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan sorang bekas menteri dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat ‘lampu hijau’ daripada Jabatan Peguam Negara untuk menuduh tokoh politik tersebut.

Ketua Pesuruhjayanya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, bekas menteri itu bakal berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan melibatkan siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Terdahulu SPRM melepaskan bekas menteri yang sebelum ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan RCI TH yang mana SPRM telah menahan reman bekas menteri iu selepas beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Dalam laporan RCI yang didedahkan pada 29 Julai lalu, sebanyak 25 syor utama dikemukakan bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Jamil Khir nafi tiga pertuduhan sebabkan TH lupus lebih RM800 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved