
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dicadangkan untuk mengawal selia aspek pengurusan dana dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerangka pengawasan institusi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, cadangan itu sedang diteliti susulan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
Menurutnya, kesemua syor berkaitan daripada RCI telah diteliti untuk diambil tindakan dalam cadangan pindaan Akta Tabung Haji, termasuk mengenai kesesuaian kerangka pengawasan dan pemantauan SC terhadap pengurusan dana serta pelaburan TH.
“Pasukan Kerja (Task Force) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Pengerusi TH serta dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti bagi meneliti perkara ini.
“Saya dimaklumkan Task Force ini bersetuju untuk mengesyorkan supaya aspek pengurusan dana dan pelaburan TH dikawal selia oleh SC,” katanya ketika memberi penerangan berhubung Laporan RCI TH pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, aspek pengurusan haji dicadangkan kekal dikawal selia Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala TH pula kekal sebagai satu entiti yang utuh.
Katanya, butiran lanjut syor berkenaan akan dikemukakan kepadanya untuk pertimbangan sebelum dibentangkan kepada Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.
Dalam pada itu, pindaan Akta Tabung Haji turut dijangka memasukkan peruntukan undang-undang lebih jelas berhubung piawaian perakaunan yang diguna pakai serta penalti bagi kesalahan salah lapor penyata kewangan.
Langkah itu adalah antara perkara yang dinyatakan dalam penerangan Menteri sebagai tindakan susulan selaras dengan cadangan RCI. – KOSMO! ONLINE
The post RCI TH: SC dicadang kawal selia dana, pelaburan Tabung Haji appeared first on Kosmo Digital.






