
KUALA LUMPUR: Tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah yang dilakukan Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kerugian 100 peratus dengan nilai hampir RM13 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara pelaburan yang menghadapi kerugian besar adalah dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek di Arab Saudi iaitu Al-Rawda Real Estates Development and Project Management Co. Ltd (Al-Rawda).
Beliau berkata, kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 dan rosot nilai hingga RM2.6 bilion yang ditanggung TH.
“Lebih parah, bagi tujuh daripada 14 pelaburan itu, rugi 100 peratus. Bukan sebahagian tetapi rugi sepenuhnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas mengenai pelaburan dengan Al-Rawda, Amir Hamzah berkata, TH telah membayar sebanyak SR1.4 bilion atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi tujuan penginapan jemaah haji menerusi perjanjian pajakan bagi tempoh 2015 hingga 2017.
“Orang tengah tersebut sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel berkenaan dan berjanji membayar sewa sebanyak SR2.49 bilion kepada TH, malangnya bayaran tersebut gagal dilunaskan.
“Persoalannya, bagaimana kepimpinan TH pada waktu itu begitu berani membuat bayaran secara ‘upfront’ dengan nilai melebihi RM1.5 bilion? Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi,” katanya.
Tambahnya, Al-Rawda juga gagal menyediakan jaminan bank seperti yang diminta Jabatan Pengurusan Risiko TH selain laporan ‘due diligence’ juga tidak lengkap.
“Tetapi kepimpinan TH tetap meneruskan urus niaga bersandarkan nota jaminan tersebut. Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran bernilai.
“Al-Rawda mula tidak membayar sejak suku pertama 2019, nota janji disandarkan tidak dipenuhi dan Tabung Haji terpaksa menanggung kerugian dengan pelaburan rosot nilai sepenuhnya berjumlah RM1.86 bilion pada 2024,” katanya.-UTUSAN
The post Tujuh pelaburan TH rugi 100 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






