
PUTRAJAYA – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) tiba di Mahkamah Putrajaya hari ini untuk mendapatkan permohonan tahanan reman.
Individu berusia 60-an itu tiba kira-kira pukul 9.38 pagi dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum di bawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki berkenaan tiba dengan keadaan tangan bergari serta berbaju lokap SPRM.
Difahamkan, lelaki berkenaan akan ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Sebelum ini, laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu merekodkan pelbagai kelemahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
Sumber sebelum ini memaklumkan, individu itu adalah ahli korporat terkenal yang pernah memegang jawatan di beberapa syarikat terkemuka di negara ini.
SPRM sebelum ini telah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.
Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan selain seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan Tabung Haji.
Pada 30 Julai lalu, SPRM telah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dapatan RCI Tabung Haji termasuk mengenal pasti unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE
The post RCI TH: SPRM mohon reman bekas CEO Tabung Haji appeared first on Kosmo Digital.






