Reaksi Britain terhadap Konflik Amerika Syarikat - Iran

WorldPolitics
19 Mar 2026 • 11:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Selat Hormuz menjadi pusat kebimbangan pasaran tenaga global sejak Kor Pengawal Revolusi Islam mengumumkan penutupannya kepada kebanyakan kapal ketika serangan berterusan AS-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari. Gambar kecil: Profesor Madya Dr Azlizan Mat Enh

BRITAIN yang muncul sebagai salah satu kuasa besar dunia sejak abad ke-18 mempunyai tradisi dasar luar yang bersifat strategik dan berhati-hati.

Secara umumnya, Britain cenderung mengelakkan penglibatan dalam peperangan yang tidak melibatkan kepentingan nasionalnya secara langsung, khususnya dari sudut keselamatan dan ekonomi.

Sejarah menunjukkan bahawa keputusan Britain untuk menyertai peperangan sering dipengaruhi oleh pertimbangan kepentingan strategik tersebut serta sentimen domestik rakyatnya.

Sebagai contoh, dalam konflik besar dunia iaitu semasa Perang Dunia Pertama, Britain walaupun diasak oleh sekutunya Perancis dan Rusia untuk bersama mereka menyerang Jerman, tetapi Britain tetap mengekalkan dasar neuralitinya untuk tidak terlibat dengan perang selagi tidak menggugat kepentingan ekonomi dan geopolitiknya.

Walaupun ketika itu, Britain juga agak bimbang sekiranya beliau akan dianggap sebagai rakan yang tidak setia kepada sekutunya.

Namun, akhirnya Britain membuat keputusan untuk menyertai Perang Dunia Pertama hanya selepas Jerman mencerobohi Belgium pada tahun 1914.

Belgium ketika itu diiktiraf sebagai negara berkecuali di bawah Treaty of London 1839, iaitu satu perjanjian antarabangsa yang turut ditandatangani oleh Britain dan beberapa kuasa Eropah lain.

Pelanggaran status berkecuali Belgium oleh Jerman memberikan justifikasi kepada Britain untuk menyertai perang. Ini kerana kerajaan Britain juga perlu mengambil kira sensitiviti rakyatnya yang tidak menyokong penglibatan Britain dalam peperangan tanpa alasan yang jelas.

Ini kerana rakyatnya telah mempunyai pengalaman perang yang cukup banyak sebelum Britain muncul sebagai sebuah kuasa besar.

Begitu juga, dalam konteks konflik antara Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran, pendekatan Britain memperlihatkan corak yang hampir sama. London mengambil pendirian berhati-hati dengan menumpukan kepada langkah defensif, khususnya dalam melindungi kepentingan dan aset British di luar negara.

Britain juga sedar campur tangan Britain dalam penglibatan ketenteraan secara langsung akan berpotensi mencetuskan konflik yang lebih luas di Asia Barat. Pengalaman Britain dalam perang di Iraq dan Afghanistan turut memberi kesan besar terhadap pendekatan dasar luarnya.

Kedua-dua konflik tersebut bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa anggota tentera Britain, malah meninggalkan kesan politik yang mendalam dalam masyarakat British.

Faktor berikut menjadikan Britain lebih berhati-hati untuk terlibat dalam peperangan yang berisiko, berpanjangan dan tidak menentu.

Seperti dibincangkan sebelum ini, selain faktor keselamatan, pertimbangan ekonomi turut memainkan peranan penting dalam pendirian dasar luar Britain.

Seperti yang semua sedia maklum, Asia Barat merupakan kawasan yang signifikan kepada perdagangan tenaga dunia, khususnya berkaitan bekalan minyak dan laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz.

Sekiranya Britain terlibat secara langsung dalam serangan terhadap Iran, konflik tersebut berpotensi mengganggu kestabilan ekonomi serantau dan menjejaskan kepentingan ekonomi Britain sendiri.

Oleh itu, pendekatan yang diambil oleh Britain lebih tertumpu kepada sokongan diplomatik kepada sekutunya AS serta usaha mengekalkan kestabilan serantau tanpa terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan yang boleh memperluaskan konflik.

Adakah pendirian ini akan menggugat hubungannya dengan AS? Secara realistiknya, pendekatan berhati-hati Britain ini tidak akan menjejaskan hubungan strategiknya dengan Washington.

Ini kerana kuasa-kuasa besar sedia maklum bahawa dasar luar Britain secara tradisinya bersifat pragmatik dan sentiasa berlandaskan kepentingan nasional, khususnya dari sudut keselamatan dan ekonomi.

Dalam banyak keadaan, Britain tetap dilihat sebagai sekutu paling rapat kepada Amerika Syarikat, khususnya dalam kerjasama ketenteraan, perisikan dan diplomasi antarabangsa.

Sejarah juga menunjukkan bahawa walaupun terdapat perbezaan pendekatan dalam beberapa konflik antarabangsa, hubungan antara kedua-dua negara tetap kekal kukuh.

Britain sering bersama Amerika Syarikat dalam pelbagai operasi keselamatan global, termasuk dalam NATO serta kerjasama strategik di Eropah dan Asia Barat.

Oleh itu, pendirian Britain yang lebih berhati-hati dalam konflik Iran tidak boleh dilihat sebagai penolakan terhadap AS, sebaliknya mencerminkan strategi dasar luar yang cuba mengekalkan keseimbangan antara kesetiaan kepada sekutu dan perlindungan terhadap kepentingan nasionalnya sendiri.

Pada akhirnya, pendekatan Britain dalam konflik Iran, Israel dan AS mencerminkan realiti politik antarabangsa yang sentiasa didorong oleh kepentingan nasional.

Walaupun Britain kekal sebagai sekutu rapat Washington, London juga sedar bahawa setiap konflik mempunyai implikasi ekonomi dan strategik yang perlu dipertimbangkan secara teliti.

Justeru, sikap berhati-hati Britain bukanlah tanda kelemahan dalam hubungan London -Washington, tetapi sebaliknya menunjukkan keupayaan Britain untuk mengekalkan keseimbangan antara kesetiaan kepada sekutu dan tanggungjawab melindungi kepentingan negaranya sendiri dalam sebuah rantau yang terus bergolak.

 

***Penulis ialah Pensyarah Pusat Kajian Sejarah Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Azlizan Mat Enh