Realme Buang Pekerja Di India Selepas Diserap Ke Dalam Oppo

LocalTechnology
5 Feb 2026 • 2:17 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Awal bulan Januari Realme telah diserap semula ke dalam Oppo menjadikannya syarikat kedua selepas OnePlus menjadi seperti sirih pulang ke gagang. Oleh sebab itu, kakitangan Realme telah mula dibuang kerja menurut laporan 91Mobiles. Kakitangan yang terjejas adalah pasukan jualan, pengurusan dan pekerja stor fizikal Realme yang tidak lagi diperlukan kerana ia kini sepenuhnya di bawah Oppo.

image is not available

Kakitangan menerima arahan kontrak mereka akan tamat dalam masa 1-2 bulan dengan tarikh akhir pekerjaan ialah pada 30 April 2026. Realme ditubuhkan pada tahun 2018 sebagai sub-jenama Oppo dengan ia kemudiannya menjadi syarikat kendiri dua bulan selepas ditubuhkan. Dari awal Realme menawarkan peranti harga mampu milik untuk pasaran India. Oleh itu secara konsisten jualan tertinggi peranti adalah di India.

Mengapa Realme kembali semula ke dalam lipatan seperti OnePlus tidak pernah didedahkan. Tetapi pengurangan tenaga kerja juga dilakukan ke atas OnePlus selepas menjadi subjenama. Bagi pengguna peranti tiada perubahan pada sokongan peranti tetapi dengan isu kekurangan memori serta storan tahun ini, jangan terkejut jika beberapa peranti Realme tidak akan ditawarkan tahun ini bagi memberikan laluan kepada peranti Oppo terlebih dahulu.