Redmi Note 14 Pro dilancarkan di Malaysia pada Januari lalu tetapi hari ini di Bangkok, Redmi Note 14 Pro 5G BamBam Limited Edition pula dilancarkan. Ini ialah versi terhad yang dihasilkan sempena BamBam seorang penyanyi berasal dari Thailand yang merupakan duta Redmi. Versi ini ditawarkan dalam warna baharu Sand Gold dan mempunyai kemasan tanda tangan BamBam di bahagian belakang.

Peranti dilengkapi skrin 6.67-inci CrystalRes AMOLED beresolusi 1.5K, menyokong kadar segar semula 120Hz bukan LTPO, kecerahan mencapai 3000 nits, menyokong paparan Dolby Vision dan dilindungi dengan kaca Gorilla Glass Victus 2. Ini dipadankan dengan cip Dimensity 7300-Ultra, memori 12GB RAM LPDDR4X, storan sebesar 256GB UFS 2.2 dan bateri sebesar 5119 mAh dengan pengecasan 45W.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP dengan OIS, lensa ultra sudut lebar 8MP dan lensa makro 2MP. Di hadapan pula kamera swafoto dilengkapi sensor 20MP. Kamera hadir dengan ciri seperti AI Image Expansion dan AI Erase Pro. Juga disertakan ialah sokongan Google Circle to Search dan Google Gemini.
Sistem operasi yang digunakan ialah HyperOS berasakan Android 15 dan tubuh peranti turut melepasi piawaian IP68. Ciri lain yang diberikan adalah pengimbas cap jari bawah skrin, speaker stereo dengan Dolby Atmos, pemancar infra merah dan NFC.

Di Malaysia Redmi Note 14 Pro 5G BamBam Limited Edition dijual pada harga RM 1299 dalam versi 12GB+256GB. Peranti boleh dibeli bermula hari ini menerusi mi.com dan stor rasmi Xiaomi di Shopee dan Lazada.

