REE Gua Musang jadi rebutan pelabur dunia - Exco Kelantan

LocalBusiness & Finance
24 May 2026 • 4:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: REE Gua Musang jadi rebutan pelabur dunia - Exco Kelantan
Hilmi (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong, Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Potensi unsur nadir bumi (REE) di kawasan Ladang Subong, Gua Musang seluas kira-kira 1,416 hektar kini mula menarik perhatian syarikat dari seluruh dunia untuk melabur di Kelantan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kawasan tersebut ketika ini sedang melalui proses eksplorasi dan pensampelan bagi mengenal pasti jumlah sebenar deposit REE yang berpotensi dibangunkan secara komersial.

Menurutnya, projek berkenaan dijalankan dengan kerjasama agensi Jepun, Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC), yang mempunyai kepakaran dalam sektor mineral dan tenaga.

“Setakat ini, ramai yang menunjukkan minat dan menghantar cadangan kertas kerja tanpa henti membabitkan syarikat dari seluruh dunia.

“Ketika ini, projek masih di peringkat eksplorasi untuk mengenal pasti jumlah hasil serta potensi sebenar deposit REE di kawasan yang dikenal pasti,” katanya selepas Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong di sini pada Ahad.

Beliau berkata, proses tersebut melibatkan kerja pensampelan serta analisis awal sebelum sebarang aktiviti perlombongan dibenarkan dijalankan secara komersial.

Hilmi memberitahu, kerajaan negeri turut membuka ruang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri yang berminat untuk terlibat dalam pembangunan sektor REE di Kelantan.

Katanya, setiap permohonan dan cadangan akan diperhalusi bagi memastikan pembangunan industri berkenaan dilaksanakan secara tersusun serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Potensi REE ini dilihat mampu menjadi sumber ekonomi baharu kepada negeri sekiranya hasil eksplorasi mendapati kawasan tersebut mempunyai deposit yang berdaya maju,” katanya.