Licik lombong emas haram waktu cuti

LocalEnvironment
24 May 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Licik lombong emas haram waktu cuti
Hilmi (empat dari kanan) merasmikan Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong, Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU – Kegiatan melombong emas secara haram di Kelantan dikesan semakin licik apabila mereka dipercayai memilih waktu cuti untuk menjalankan aktiviti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kumpulan terbabit dipercayai mengetahui jadual operasi penguatkuasaan menyebabkan mereka bergerak secara tersembunyi di beberapa lokasi tertentu.

Menurutnya, walaupun taktik itu digunakan, kerajaan negeri bersama pasukan pemantauan khas masih berjaya mengawal keadaan menerusi operasi berterusan dan tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

"Mereka ini biasanya melombong ketika cuti kerana merasakan operasi penguatkuasaan kurang dijalankan pada waktu tersebut.

"Bagaimanapun, setakat ini banyak tangkapan berjaya dibuat termasuk penyitaan jentera yang digunakan untuk aktiviti perlombongan haram," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong di sini pada Ahad.

Hilmi memberitahu, kerajaan negeri tidak hanya memberi fokus kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya turut membuka ruang kepada penduduk tempatan menjalankan aktiviti perlombongan secara sah menerusi lesen mendulang.

Katanya, langkah itu diperkenalkan bagi memastikan aktiviti mencari mineral dapat dilakukan secara terkawal, selamat dan mematuhi prosedur ditetapkan.

"Perlombongan ini bukan boleh dibuat sesuka hati kerana ada kaedah tertentu bagi mengelak risiko serta kejadian tidak diingini.

"Sebab itu pemegang lesen akan diberikan kursus dan penerangan berkaitan cara perlombongan yang betul sebelum dibenarkan beroperasi," katanya.

Menurut beliau, proses permohonan lesen juga melibatkan beberapa peringkat termasuk lesen cari gali untuk mengenal pasti kewujudan mineral di sesuatu kawasan.

Tambahnya, tanah yang diluluskan untuk aktiviti perlombongan turut perlu melalui proses pertukaran syarat mengikut prosedur ditetapkan kerajaan negeri.