Peranti boleh pakai generasi baharu Samsung turut ditemui tertiris menerusi perkongsian terkini Winfuture. Ia menunjukkan rekaan untuk Samsung Galaxy Watch 6 yang akan tersedia dalam saiz 40mm dan 44mm. Sementara itu Samsung Galaxy Watch 6 Classic pula dalam saiz 43mm dan 47mm.

Menariknya lagi apabila sokongan bezel berputar dikembalikan pada kali ini menerusi versi Classic. Seterusnya elemen-elemen lain yang digunakan pula dilihat sama, bermaksud jenis tubuh dan tali yang digunakan mungkin tidak banyak berbeza dengan generasi sebelum ini. Begitu juga dengan dua butang navigasi pada sisi kanan serta sensor di bahagian bawah yang masih kelihatan sama.
Cumanya apabila melihat pada penggunaan cangkuk standard menerusi kedua-dua jam Galaxy Watch 6 telah menampakkan perbezaan. Ia menggunakan cangkuk standard bersama tali jam berlubang yang sudah semestinya lebih memudahkan pengalaman penggunaan. Namun timbulnya persoalan adakah sistem kancing bermagnet tidak lagi ditawarkan pada kali ini?

Persoalan tersebut bakal terjawab selepas pelancaran rasmi yang mana dijangka berlangsung sekitar Julai hadapan seiring dengan peranti Galaxy Z Fold5 dan Z Flip5. Beberapa ciri baharu bersama WearOS 4 dijangka disediakan pada jam tangan ini, di samping turut mempunyai ketahanan bateri lebih baik.
