Remaja 14 tahun pandu kereta langgar dua kenderaan

LocalCars
16 Sep 2026 • 11:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Remaja 14 tahun pandu kereta langgar dua kenderaan

BUKIT MERTAJAM, 16 SEPT: Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang remaja berusia 14 tahun memandu sebuah kereta sehingga melanggar dua kenderaan lain dalam kejadian di dua lokasi berasingan di Taman Chai Leng, Perai, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kejadian berlaku pada 4.50 petang semalam dan laporan diterima pada 8.47 malam hari sama.

“Siasatan awal mendapati remaja itu yang memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 terlebih dahulu melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Dia kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan betul,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Nik Aminuddin berkata kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Nik Aminuddin berkata ibu bapa dan penjaga diminta supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.

Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial hari ini memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta sehingga melanggar kenderaan lain sebelum dihentikan orang ramai di lokasi kejadian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved