
KISAH luar biasa anak muda ini pastinya membuka mata kita semua bahawa dengan teknik yang betul, mukjizat agung ini mampu tertanam kemas di dalam dada dalam tempoh yang sangat singkat.
Menjadi salah seorang daripada ratusan jiwa suci yang diraikan, remaja berusia 16 tahun, Muhammad Akmal Hadi Hissam membuktikan usia muda bukan penghalang untuk bergelar al-Hafiz.
Lebih mengagumkan, dia berjaya memperoleh Syahadah Hafazan Sughra dan Kubra dalam masa kurang daripada setahun sahaja.
Bila ditanya tentang rahsia kejayaan kilatnya itu, Muhammad Akmal tidak lokek berkongsi formula mudah yang diamalkannya setiap hari sebelum mula menghafal.

Baginya, menyemai rasa cinta pada setiap ayat itu adalah kunci utama yang membuatkan proses hafazan menjadi lebih lancar dan menyeronokkan.
"Saya amalkan membaca dan memahami terjemahan dahulu bagi menimbulkan rasa minat untuk menghafaz.
"Tips ini dikongsikan oleh senior yang telah berjaya sebelum saya," katanya penuh semangat.
Keberkatan mukjizat Al-Quran ini rupa-rupanya turut mengalir deras dalam sebuah keluarga bertuah apabila empat beradik serentak berjaya bergelar hufaz dalam tempoh kurang setahun.
Pasangan suami isteri, Wan Azuadi Wan Yusoff, 49, dan isterinya Normajan Ahmad, 47, melahirkan rasa syukur dan keterujaan yang tidak terhingga apabila keluarga mereka dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tajul Waqar.

"Syukur keempat-empat anak saya berjaya menghafaz Al Quran dan berjaya Syahadah kurang setahun.
"Anak-anak memang menunjukkan minat dalam menghafaz dan kami sebagai ibu bapa memberi galakan dan dorongan untuk mereka cintakan Al Quran.
"Pada kami, dengan Al Quran sahajalah mampu mendidik dan menjaga mereka nanti," kongsi Wan Azuadi dengan nada syukur.
Pemilihan pusat pembelajaran yang tepat juga menjadi faktor penting yang membantu impian murni keluarga ini menjadi realiti.
Tambah Wan Azuadi lagi, mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada sistem yang teratur demi masa depan anak-anak.
"Saya memilih AKMAL kerana yakin dengan sistem pembelajaran yang ditawarkan selain teknik didikan hafazan yang diterapkan membuatkan anak-anak bertambah minat dengan Al Quran sehingga berjaya Syahadah," ujarnya.
Kejayaan hebat mereka itu sebenarnya diraikan bersama 201 orang hafiz dan hafizah yang lain dalam Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL Kali Ke-7 yang berlangsung meriah di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, baru-baru ini.
Majlis penuh emosi dan air mata kegembiraan itu diadakan khas sebagai tanda penghargaan tertinggi buat para pelajar, di samping menjadi platform terbaik untuk menyemarakkan lagi kecintaan masyarakat terhadap Al-Quran.
Misi lahirkan 3,000 hufaz
Malah, sepanjang majlis berlangsung, pelbagai pengisian keagamaan turut diadakan demi memberi motivasi kepada para graduan muda ini agar terus menjaga hafazan dan mengamalkan setiap isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

Melihat kepada kejayaan luar biasa para pelajar ini, Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin menjelaskan bahawa pusat pengajian itu kini meletakkan misi besar untuk melahirkan seramai 3,000 hufaz pada setiap tahun.
Jelasnya, formula dan ekosistem yang mereka gunakan terbukti membuahkan hasil yang sangat positif.
"Tahun ini kita dapat lihat peningkatan hufaz yang berjaya khatam Al Quran dari tahun sebelumnya, perkara ini membuktikan sistem pembelajaran yang meletakkan target bagi setiap pelajar untuk berjaya menghafaz dalam masa setahun berkesan.
"Sistem kita asasnya adalah target dan kedua perlu fokus dan ketiga adalah kempen. Kita pergiat kempen untuk para pelajar ada sebab utama untuk capai target," jelasnya.
Menurut Mohd Saifullah lagi, majlis gilang-gemilang seperti Haflah Takrimiyah ini merupakan antara kempen terbesar mereka untuk membakar semangat para pelajar lain supaya terus gigih berusaha mencontohi rakan-rakan yang telah berjaya.
Al-Hafiz profesional
Dalam pada itu, beliau turut memuji kesedaran tinggi masyarakat hari ini yang tidak lagi memandang sepi institusi tahfiz.
"Kita lihat pada masa kini, ramai ibu bapa yang mahu mendaftar anak-anak mereka masuk ke tahfiz, ini kerana stigma bahawa pelajar tahfiz hanya boleh menjadi imam atau bidang keagamaan sudah lama luput.
"Realitinya, ramai huffaz membuktikan mereka mampu menguasai pelbagai kerjaya profesional bertaraf tinggi.
"Anak-anak huffaz ini bukan sahaja boleh menceburi bidang agama malah boleh mempunyai kerjaya kehebatan menceburi pelbagai bidang profesionalism.

"Ini terbukti alumni di AKMAL yang kini membina kerjaya sebagai arkitek, doktor, pensyarah dan pelbagai lagi," ulasnya mengenai masa depan cerah bergelar seorang al-Hafiz profesional.
Demi memastikan gelombang melahirkan generasi hufaz berpendidikan tinggi ini terus berkembang luas, AKMAL kini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh ke hadapan.
Berita gembira buat ibu bapa, pusat pengajian ini merancang untuk membuka tiga buah lagi cawangan pusat tahfiz baharu yang terletak di Ampang, Kelantan, dan Melaka menjelang tahun hadapan.
Ini sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk anak-anak muda mendekati dan mendalami kalam suci ini dengan acuan yang terbaik.


