Remaja 16 tahun tak sempat serah hadiah hari lahir kepada adiknya

24 Oct 2026 • 5:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Remaja 16 tahun tak sempat serah hadiah hari lahir kepada adiknya

BATU PAHAT : Hasrat seorang remaja, Putera Muhaimin Qudrat Mohd. Noor Wandi, 16, untuk membuat kejutan menyerahkan hadiah hari lahir untuk adik perempuannya tidak kesampaian setelah terlibat kemalangan maut, malam tadi.

Bapa mangsa, Mohd. Noor Wandi A Rahim, 41, berkata, arwah merancang untuk menyerahkan hadiah kepada adik perempuannya, Puteri Nur Fairuza Balqis, 15, pada pagi ini.

Noor Wandi yang bekerja sebagai pekebun sawit berkata, arwah membeli hadiah tersebut menggunakan wang tabungnya dan mahu membuat kejutan untuk adiknya itu.

“Anak saya Nur Fairuza Balqis yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) tidak sempat menerima hadiah hari lahirnya itu.

“Sebelum ini, tiada siapa yang ada untuk menemankan arwah membeli hadiah. Adik saya kemudian membawa keempat-empat anak saya ke BP Mall malam tadi untuk beli hadiah dan sambut hari lahir di sana.

“Arwah beli hadiah itu tapi adiknya tidak tahu itu hadiah dibeli adalah untuknya. Selepas membeli hadiah, kereta Proton Wira dinaiki mereka iaitu adik ipar dan adik saya bersama-sama empat anak saya kemalangan,” katanya ditemui di Unit Perubatan Forensik HSNI, hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam tadi, kereta tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok berhampiran Surau Kampung Jalan Baru, Simpang 5, di sini.

Kemalangan tersebut mengorbankan Muhaimin Qudrat manakala tiga adiknya, Nur Fairuza Balqis; Putera Khairunas, 11, dan Putera Aidin Firdaus, 2, manakala pasangan Nor Azlan Shaharudin, 27; dan Rahmah A Rahim, 26, cedera, semua mangsa tersebut masih dirawat di HSNI.

Mohd Noor yang merupakan pengasas SM 4 All memberitahu, dia merasa tidak sedap hati apabila mereka masih tidak pulang ke rumah dari BP Mall sebelum adik maklumkan kejadian itu dan terus pergi ke lokasi kejadian.

“Saya dan isteri, Norfarahin Mohammad, 38, bergegas ke lokasi dengan motosikal. Apabila tiba saya lihat dua anak saya dibawa ambulan milik bomba ke HSNI, arwah dan adik perempuan saya pula berada sebelah kereta.

“Doktor yang berada di lokasi sahkan arwah sudah meninggal dunia di situ manakala adik ipar saya yang memandu tersepit sebelum dikeluarkan bomba 20 minit kemudian,” katanya.

Bercerita lanjut, dia berkata, doktor memaklumkan tulang pinggul Rahmah patah dan terkeluar manakala Khairunas cedera ringan tetapi trauma, Nur Fairuza Balqis pula patah peha dan cedera di dada akibat terhentak serta pendarahan kecil di kepala.

Katanya, Aidin Firdaus patah bahu, mengalami pendarahan otak serta patah tangan dan kaki dan kini dirawat di ICU.

“Nor Azlan pula tulang belakangnya rosak, kaki mengalami pendarahan selain usus serta limpa rosak. Saya masih belum tahu mengenai perkembangannya yang menjalani prmbedahan pagi tadi,” ujarnya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Bajuri selepas Zuhur. – UTUSAN

The post Remaja 16 tahun tak sempat serah hadiah hari lahir kepada adiknya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved