Remaja antara 6 ditahan merusuh

29 Oct 2025 • 3:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Polis menangkap enam lelaki, termasuk seorang remaja berumur 16 tahun, yang dipercayai terlibat dalam kejadian rusuh yang berlaku di Kampung Kuala Merotai Besar, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kesemua suspek disyaki menyerang seorang pemuda berumur 19 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar teman wanitanya.

“Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika kenderaan yang dipandu mangsa dihalang sekumpulan lelaki tidak dikenali sebelum ditarik keluar dan dipukul beramai-ramai,” katanya di sini, pada Selasa.

Jasmin berkata mangsa tidak mengetahui punca dirinya dibelasah namun mengakui mengenali salah seorang suspek, sebelum membuat laporan di Balai Polis Bombalai.

Bertindak atas laporan itu, polis melancarkan operasi memburu semua suspek di kampung terbabit kira-kira jam 4.05 petang Isnin.

“Semua suspek yang diberkas terdiri daripada warga tempatan berumur lingkungan 16 hingga 21 tahun. Mereka kini ditahan reman untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan semua suspek.

Menurutnya, siasatan terhadap kes terbabit dibuka di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 447 kanun sama akibat menceroboh.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam tindakan ganas atau mengganggu ketenteraman awam, jadi salurkanlah maklumat kejadian jenayah jika ada berlaku di tempat kalian,” katanya.