Remaja baling batu pecahkan cermin tren KTMB dibebaskan petang ini

31 Oct 2026 • 1:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja baling batu pecahkan cermin tren KTMB dibebaskan petang ini
Suspek mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah tren berkenaan ketika berada di kawasan jejantas motosikal Kampung Jelempok. Foto Bernama

ARAU - Remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditahan selepas mengaku membaling batu sehingga menyebabkan cermin tingkap sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pecah dijangka dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek akan diberikan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Kes baling batu, suspek akan diberi jaminan polis, dijangka dilepaskan selewat-lewatnya pada petang ini.

"Namun, siasatan tetap diteruskan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya pada Sabtu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar sekolah menengah di sini ditahan menerusi Op Cantas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Arau bersama Task Force Balai Polis Arau pada Sabtu.

Suspek mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah tren berkenaan ketika berada di kawasan jejantas motosikal Kampung Jelempok di sini.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek melakukan perbuatan itu ketika bersama empat rakannya yang sedang melepak di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, hanya suspek bertindak membaling batu, manakala empat lagi rakannya tidak terlibat dan sekadar menyaksikan kejadian.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Guar Sanji di sini, sebelum polis merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y05 bersama kad SIM serta seketul batu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau sebelum ini ditahan di lokap Balai Polis Kangar bagi membantu siasatan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved