Polis siasat cermin koc KTMB pecah ketika dalam perjalanan ke Alor Setar

30 Oct 2026 • 7:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis siasat cermin koc KTMB pecah ketika dalam perjalanan ke Alor Setar
KTMB mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kerosakan tingkap di bahagian kiri sebuah koc tren yang menghala ke Alor Setar.

ARAU – Polis menerima laporan berhubung kejadian cermin tingkap sebuah koc tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang pecah dipercayai ketika dalam perjalanan dari Stesen Arau menuju ke Alor Setar pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata laporan berhubung kejadian itu diterima Balai Polis Arau pada jam 12.30 tengah hari, Jumaat.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Sebelum ini, insiden berkenaan tular di aplikasi media sosial Threads selepas beberapa penumpang mendakwa terdengar bunyi kuat seperti letupan secara tiba-tiba sebelum mendapati cermin tingkap tren mengalami kerosakan.

Susulan kejadian itu, KTMB mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kerosakan tingkap di bahagian kiri sebuah koc tren yang sedang dalam perjalanan ke Alor Setar.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, KTMB memaklumkan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurut KTMB, kerja-kerja pembaikan terhadap tingkap yang rosak akan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa terpelihara.

“KTMB mengingatkan orang ramai bahawa sebarang perbuatan vandalisme terhadap tren dan aset kereta api bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan harta benda, malah berpotensi mengancam keselamatan penumpang.

“KTMB akan terus memantau perkembangan kejadian dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil penelitian lanjut,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved