
ARAU – Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang disyaki membaling batu sehingga menyebabkan cermin tingkap tren Komuter Utara pecah dan seorang penumpang wanita tercedera berhampiran jejantas Jelompok, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Arau bersama Task Force Balai Polis Arau menerusi Op Cantas di sebuah rumah di sekitar Arau, hari ini.
“Hasil siasatan awal mendapati remaja berkenaan mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah cermin tren KTM ketika melalui kawasan jejantas motosikal Kampung Jelompok kira-kira pukul 6 petang, Khamis lalu.
“Ketika kejadian, suspek bersama empat rakannya sedang berkumpul di kawasan jejantas berkenaan sebelum dia bertindak membaling batu ke arah tren yang sedang bergerak,” katanya hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati empat rakan suspek tidak terlibat dalam perbuatan tersebut, sebaliknya hanya menyaksikan tindakan remaja berkenaan.
“Polis turut merampas seketul batu dipercayai digunakan dalam kejadian itu selain sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y05 bersama kad SIM bagi membantu siasatan. Semakan mendapati suspek yang masih bersekolah itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Katanya, suspek ditahan di lokap Balai Polis Kangar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan dijangka dilepaskan dengan jaminan polis petang ini. – KOSMO! ONLINE
The post Baling batu pecahkan cermin komuter, remaja 14 tahun ditahan appeared first on Kosmo Online.






