Remaja Hilang Di Bukit Changkat Asa: Dakwaan Bunyi ‘Ketawa’ Ketika Operasi SAR Cetus Perhatian Netizen

26 May 2026 • 4:00 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Remaja Hilang Di Bukit Changkat Asa: Dakwaan Bunyi ‘Ketawa’ Ketika Operasi SAR Cetus Perhatian Netizen

TANJUNG MALIM – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa di sini sejak Sabtu terus menjadi perhatian ramai susulan tular beberapa perkongsian di media sosial berkaitan pencarian mangsa.

Perkara itu mula menjadi bualan selepas satu video dimuat naik di Threads memaparkan pasukan SAR sedang menjalankan pencarian di sekitar kawasan bukit berkenaan.

Dalam video berdurasi lebih seminit itu, kelihatan anggota SAR memanggil nama mangsa ketika operasi dijalankan di kawasan semak.

Bagaimanapun, beberapa saat kemudian, sebahagian pengguna media sosial mendakwa terdengar bunyi menyerupai ketawa yang dipercayai datang dari arah kawasan pencarian, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Antara komen yang tular termasuk luahan rasa seram serta doa agar mangsa segera ditemukan dalam keadaan selamat.

Dakwaan Kelibat Mangsa Turut Tular

Sementara itu, beberapa lagi perkongsian di media sosial turut mendakwa terdapat individu yang terlihat kelibat dipercayai mangsa sekitar waktu Maghrib sebelum ia dikatakan hilang daripada pandangan.

Turut dikongsikan, bacaan azan dan takbir diperdengarkan di lokasi operasi sebagai antara usaha dan ikhtiar sepanjang pencarian dijalankan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan bunyi tersebut, manakala pelbagai perkongsian yang tular di media sosial masih belum dapat disahkan kesahihannya.

Orang ramai terus memenuhi ruangan komen dengan doa dan harapan agar operasi SAR dipermudahkan serta mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

Bapa Harap Ada Petunjuk Baharu

Sementara itu, memetik laporan media, bapa kepada remaja terbabit berharap operasi SAR yang sedang dijalankan dapat menemukan petunjuk baharu.

Azizul Abdul Aziz, 48, berkata beliau dan seluruh ahli keluarga reda serta pasrah dengan segala kemungkinan susulan kehilangan anaknya yang kini memasuki hari ketiga.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan perubahan ketara sebelum kejadian, malah kelihatan sangat gembira sejak kebelakangan ini selepas memperoleh lesen memandu kereta.

Difahamkan, remaja berkenaan juga baru mula bekerja di sebuah kedai makan berhampiran MRSM Sungkai dan merupakan seorang yang aktif dalam sukan bola jaring.

Beliau berkata, anaknya mula berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian sejak beberapa tahun lalu.

Ketika hari kejadian, mangsa melakukan aktiviti mendaki bersama ibu, adik, ibu saudara serta dua sepupunya sebelum dipercayai tersesat sekitar jam 10.50 pagi ketika menuruni bukit selepas mengambil keputusan berjalan sendirian kerana berasa panas dan penat.

Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh berwarna coklat, baju lengan panjang hijau gelap, seluar panjang hitam serta kasut berwarna biru.

Operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan lokasi mangsa. – The Malaysian Update

The post Remaja Hilang Di Bukit Changkat Asa: Dakwaan Bunyi ‘Ketawa’ Ketika Operasi SAR Cetus Perhatian Netizen appeared first on The Malaysian Update.