Remaja hilang ketika aktiviti mendaki, bapa harap operasi SAR temui petunjuk baharu

25 May 2026 • 8:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja hilang ketika aktiviti mendaki, bapa harap operasi SAR temui petunjuk baharu
Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim.

HULU SELANGOR - Bapa kepada remaja perempuan yang dipercayai sesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa di Tanjong Malim pada Sabtu lepas, berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya akan menemui petunjuk baharu.

Azizul Abdul Aziz, 48, berkata, beliau dan seluruh keluarganya bagaimanapun reda dan pasrah dengan segala kemungkinan susulan kehilangan Nur Izzati Humaira, 18, yang masuk hari ketiga.

"Sama ada masih bernyawa ataupun sudah menjadi jasad, kami reda dan berharap dia dapat ditemukan segera,” katanya ketika ditemui Bernama di Pos Kawalan Bomba (PKB) di sini pada Isnin.

Azizul yang menetap di Felda Trolak Utara, di Batang Padang, Perak, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum hilang, sebaliknya kelihatan sangat gembira sejak kebelakangan ini selepas berjaya mendapat lesen memandu kereta.

Beliau berkata, Nur Izzati Humaira juga baru bekerja di sebuah kedai makan berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungkai dan merupakan seorang remaja yang sangat aktif dalam sukan bola jaring.

"Walaupun sudah menamatkan persekolahan, dia sering kembali ke bekas sekolah menengahnya untuk membantu guru sukan melatih pasukan sekolah secara sukarela,” katanya.

Azizul berkata, anaknya itu mula berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian sejak beberapa tahun lepas.

"Saya pernah mendaki bersama Nur Izzati Humaira di Gunung Belumut di Kluang, namun tidak dapat ikut untuk aktiviti Sabtu lepas,” katanya.

Beliau berkata ketika hari kejadian, remaja perempuan itu melakukan aktiviti mendaki bersama ibu, adik, ibu saudara dan dua orang sepupunya.

Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian supaya sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.

Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh coklat, baju lengan panjang hijau gelap dan seluar panjang hitam serta kasut biru. - Bernama