SANDAKAN - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut dalam kejadian di Kampung Tinosa, Batu 7, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Mohd Mahadir Danish Abdullah, 15, dipercayai telah keluar ke kedai bersama rakannya sebelum dilaporkan terjatuh.
Mangsa bagaimanapun ditemukan oleh ahli keluarganya sendiri dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah jambatan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, sebaik pasukan polis tiba, mangsa didapati terbaring di atas jambatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kemudian melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia tempat kejadian.
"Pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan dan setakat ini tiada unsur jenayah atau khianat yang disyaki berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

