
CHINA – Dalam dunia yang kebanyakannya memilih jalan mudah, seorang remaja di China sanggup bekerja hampir 19 jam sehari demi membantu keluarga sehingga kisahnya meraih perhatian ramai di media sosial.
Seorang remaja lelaki di China mencuri perhatian ramai apabila menjual nasi goreng sambil mengenakan sut lengkap, malah dilaporkan mampu meraih pendapatan mencecah 50,000 yuan (kira-kira RM32,000) sebulan.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), remaja berusia 19 tahun dikenali sebagai Lu itu mengusahakan gerai nasi goreng di Yantai, wilayah Shandong sejak usia 17 tahun dan kini menjadi tulang belakang keluarganya.
Bapanya membantu menyediakan bahan masakan manakala Lu bertanggungjawab menggoreng nasi untuk pelanggan setiap hari.
Lu berkata, dia memilih untuk memakai sut ketika berniaga kerana mahu kelihatan lebih kemas selain menambah “sedikit elemen romantik dalam kehidupan seharian”.
Namun katanya, dia sendiri tidak menyangka penampilannya itu mendapat perhatian luar biasa daripada pelanggan dan netizen.
Penampilan Jadi Tarikan, Rasa Jadi Sebab Pelanggan Datang Semula
Menurut Lu, ramai pelanggan pada awalnya datang kerana tertarik dengan gaya penampilannya, namun rasa nasi goreng yang dijual menjadi faktor utama mereka kembali membeli.
Difahamkan, Lu memulakan perniagaan seawal jam 5 pagi dan hanya tamat sekitar jam 11.30 malam setiap hari dengan waktu rehat yang sangat terhad.
Ketika waktu puncak, dia mampu menyiapkan satu hidangan nasi goreng setiap tiga minit secara purata.
Lu dilaporkan menjual sekurang-kurangnya 200 hidangan sehari pada harga 10 yuan setiap satu, dengan keuntungan sekitar 50 peratus selepas ditolak kos operasi.
Video memaparkan Lu sedang memasak turut tular di platform Weibo dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Seorang pengguna media sosial mempersoalkan sama ada remaja itu sempat tidur lebih tiga jam sehari jika mengambil kira masa persiapan berniaga.
“Kalau campur masa persiapan, sempat ke dia tidur tiga jam?” tulis seorang netizen.
Seorang lagi pula berpendapat kejayaan yang dilihat orang ramai sebenarnya hadir daripada pengorbanan dan kerja keras di sebalik tabir.
“Kejayaan yang nampak di depan mata datang daripada usaha keras yang orang lain tak nampak,” katanya. – The Malaysian Update
The post Remaja Jual Nasi Goreng Pakai Sut Raih Pendapatan Cecah RM32,000 Sebulan appeared first on The Malaysian Update.
